[KEMAS KINI] Covid-19: Lebih sejuta pesakit telah sembuh

Jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh daripada jangkitan Covid-19 sejak wabak itu mula melanda negara Mac tahun lalu melepasi angka satu juta hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi sebanyak 16,323 pesakit disahkan sembuh sekali gus melonjakkan kumulatif kepada 1,009,343 kes sembuh.

Bagaimanapun katanya negara hari ini merekodkan 210 kes kematian, termasuk 33 membabitkan bukan warganegara Malaysia, menjadikan keseluruhannya 10,389 kes.

Beliau berkata daripada jumlah kematian itu, 34 kes yang membabitkan 22 warganegara dan 12 bukan warganegara yang telah meninggal dunia terlebih dahulu sebelum dibawa ke hospital (BID).

Katanya, tahun ini Malaysia melaporkan 9,918 kes kematian akibat Covid-19 berbanding 471 kematian pada 2020.

“Daripada jumlah kes kematian pada tahun ini sehingga 7 Ogos 2021, sebanyak 8,615 kes kematian atau 86.9 peratus merupakan kematian di hospital dan 1,303 kes (13.1 peratus) lagi BID.

“Sebanyak 8,081 kes atau 93.8 peratus kes kematian di hospital melibatkan warganegara Malaysia. Bagi kes kematian BID pula, sebanyak 819 kes (62.9 peratus) melibatkan warganegara Malaysia, manakala 484 kes (37.1 peratus) lagi bukan warganegara Malaysia,” katanya.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan seramai 1,097 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi dengan 575 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. Pada masa sama juga 224,120 kes masih aktif.

Terdahulu beliau memaklumkan 19,257 kes baharu direkodkan, termasuk 16 kes import, menjadikan keseluruhan kes positif sebanyak 1,243,852 kes. Daripada jumlah kes baharu itu juga, 3,354 membabitkan bukan warganegara Malaysia.

Pada masa sama beliau turut memaklumkan 36 lagi kluster baharu dikesan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,899 kluster dengan 2,702 telah ditamatkan.

Daripada jumlah kluster baharu itu, 18 membabitkan jangkitan di tempat kerja, komuniti (15 klsuter), dan masing-masing satu kluster institusi pendidikan (Kelantan), keagamaan (Pahang) dan pusat tahanan (Sabah).

Lapan daripada kluster tempat kerja dikesan di Selangor; Johor (enam); Kelantan (dua); dan masing-masing satu di Pahang dan Kuala Lumpur.

Kelantan turut mencatatkan enam kluster komuniti; Pahang (empat); Perak (dua) dan masing-masing satu di Kedah, Sabah, dan Sarawak.

Mengenai kadar kebolehjangkitan, Dr Noor Hisham berkata berdasarkan data terkini pada 6 Ogos 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.09.

“Negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Kelantan (nilai RT 1.28) diikuti oleh Sabah dan Terengganu (nilai RT 1.19), serta Perak dan Pulau Pinang (nilai RT 1.18). Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Data 7 Ogos 2021

BERITA BERKAIT
POPULAR