
Pecahan kes kematian mengikut negeri sehingga jam 11.59 malam 17 September 2021.
Jumlah kematian akibat Covid-19 yang direkodkan dalam tempoh 24 jam di seluruh negara semalam meningkat kepada 388 kes berbanding 346 kes pada Khamis lalu.
Menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang disiarkan dalam laman web COVIDNOW hari ini, angka itu menjadikan keseluruhan kes kematian sejak awal tahun lalu hingga semalam ialah 22,743 kes.
Jumlah itu termasuk, 64 pesakit yang meninggal dunia sebelum dihantar ke hospital atau brought in death (BID) menjadikan keseluruhan kes BID sehingga semalam sebanyak 4,327 kes.
Jumlah kematian di lapan negeri juga meningkat berbanding Khamis.
Selangor merekodkan 167 kematian semalam berbanding 94 kelmarin; Johor (76 semalam, 59 kelmarin); Kuala Lumpur (12 semalam, 3 kelmarin); Pahang (12 semalam, 0 kelmarin); Kelantan (10 semalam, 3 kelmarin); Perak (7 semalam, 3 kelmarin); Terengganu (5 semalam, 4 kelmarin); dan Negeri Sembilan 1 semalam, 0 kelmarin).
Sementara itu, kes aktif juga semakin menurun apabila dalam tempoh 24 jam semalam, 221,339 kes dilaporkan, berbanding 227,120 kes pada Khamis, manakala jumlah keseluruhan kes sembuh pula meningkat kepada 1,823,245 berbanding 2,062,644 kes positif.
Daripada 221,339 kes aktif itu, 83.1 peratus atau 183,897 pesakit kini menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing; 24,577 pesakit (11.1%) dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC); 11,661 (5.3%) di hospital; dan 1,204 dirawat di unit rawatan rapi, dengan 496 pesakit tidak memerlukan alat bantuan pernafasan, dan 708 lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.
Mengikut statistik KKM itu juga sehingga semalam 55.5 peratus individu dewasa di seluruh negara telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 masing-masing, manakala 66.9 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Sejak Program imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilancarkan Februari lalu hingga semalam, lebih 39.9 juta dos vaksin diberikan, membabitkan 21,861,904 penerima dos pertama dan 18,135,561 penerima melengkapkan dos masing-masing. Jumlah ini termasuk penerima vaksin dos tunggal.
Semalam sahaja sebanyak 238,002 dos diberikan kepada 75,986 penerima dos pertama dan 162,016 dos kedua.