Covid-19: Kumulatif kematian 35,311 kes, termasuk 7,456 BID

Sembilan belas lagi kematian akibat komplikasi Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam semalam (Isnin, 11 April 2022), lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Tiga daripadanya membabitkan kematian di luar fasiliti kesihatan sebelum mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat atau dikategorikan kes ‘brought in death’ (BID).

Bagaimanapun, tiada maklumat diberikan sama ada tiga kes BID itu turut membabitkan dalam kalangan 131,235 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah, atau melibatkan mangsa tidak mengetahui telah dijangkiti Covid-19 tahap teruk.

Jumlah kematian semalam menjadikan kumulatif sejak Mac 2020 meningkat kepada 35,311 kes, termasuk 7,456 kes BID, menurut laman sesawang CovidNOW yang dikemas kini tengah malam tadi.

Data seminggu lepas menunjukkan 80 kematian di seluruh negara melibatkan pesakit berusia 80 tahun dan ke atas; diikuti 79 (70-79 tahun); 32 (60-69 tahun); 16 (50-59 tahun); 13 (40-49 tahun); enam kes (30-39 tahun); tiga kes (18-29 tahun); dua kes (0-4 tahun); dan satu kes (12-17 tahun).

Daripada data yang dikeluarkan, Selangor melaporkan empat kes, menjadikan kumulatif kematian sebanyak 10,585 kes, termasuk 2,289 kes BID.

Selangor mencatat 4,444 jangkitan baharu semalam, tinggi sedikit berbanding 4,299 yang direkodkan pada Ahad, menjadikan kumulatif positif naik kepada 1,270,560 kes, dengan 1,184,455 pesakit telah sembuh, 10,585 kematian, dan 75,520 kes masih aktif.

Data seminggu lepas menunjukkan 17 kematian di Selangor melibatkan pesakit berusia 80 tahun dan ke atas; diikuti 13 (70-79 tahun); lima (40-49 tahun); dua kes (60-69 tahun); dan masing-masing satu kematian melibatkan kategori umur 12 hingga 17 tahun, 18-29 tahun, 30-39 tahun, dan 50-59 tahun.

Bagi negeri dan Wilayah Persekutuan lain, Johor, Kedah, Pahang, Perak, Sarawak serta Kuala Lumpur masing-masing mencatat dua kematian dan masing-masing satu kes di Melaka, Pulau Pinang, serta Terengganu.

Tiada kes kematian dilaporkan di Kelantan, Negeri Sembilan, Perlis, Sabah, Labuan dan Putrajaya, semalam.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 11 April 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR