Covid-19: KKM tingkat kesiapsiagaan hospital sekitar Lembah Klang

Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu akan mula beroperasi di Dewan Sivik Petaling Jaya pada Jumaat, 9 Julai 2021 dengan kapasiti 3,000 dos sehari. - Gambar FB KKM

Sebanyak 154 daripada 5,198 katil yang dikhususkan kepada pesakit Covid-19 kategori 4 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Bersepadu PKRC MAEPS telah diguna sepenuhnya, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata baki katil yang disediakan bagi pesakit Covid-19 Kategori 1 hingga 3 pula hampir penuh dan berdasarkan data terkini secara puratanya PKRC MAEPS menerima 800 pesakit Covid-19 sehari dengan purata 200 daripadanya adalah pesakit Kategori 4.

Sehubungan itu katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) menilai semula strateginya serta mengenal pasti langkah responsif meningkatkan kesiapsiagaan hospital di sekitar Lembah Klang serta PKRC MAEPS 2.0 bagi menerima dan merawat pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 yang semakin meningkat.

“KKM telah memulakan langkah-langkah kesiapsiagaan bagi perawatan dan pemulihan pesakit Covid-19, termasuk di PKRC MAEPS 2,0 yang mana jumlah pesakit yang dirujuk juga telah bertambah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara langkah diambil katanya adalah dengan menambah segera jumlah katil di wad unit rawatan rapi (ICU) hospital di bawah KKM dan hospital pengajar universiti.

Sebagai contoh, katanya terdapat penambahan 20 unit katil ICU di Hospital Ampang, manakala lapan katil ICU dan 45 unit katil di wad tambahan diletakkan di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia.

Katanya, menerusi inisiatif itu ia membolehkan pesakit Covid-19 Kategori 4 dan 5, dipindahkan segera dari PKRC MAEPS ke hospital berkenaan.

Dr Adham berkata, selain penambahan katil di PKRC MAEPS, pihaknya juga akan melengkapkan wad di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dengan tambahan 60 unit katil dan peralatan tambahan dianggarkan bernilai RM1.1juta.

“Ia bagi meningkatkan lagi keupayaan hospital berkenaan untuk menerima pesakitnya khususnya yang dijangkiti Covid-19. Selain itu kita turut tubuhkan hospital medan dengan kapasiti 50 katil tambahan menerusi kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di HTAR Klang, Selangor.

“Selain itu kita turut memperluaskan kerjasama dengan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19 bagi Kategori 3 dan 4,” katanya.

Dr Adham berkata, KKM turut melaksanakan segera penugasan semula atau mobilisasi sementara lebih 110 petugas kesihatan yang terdiri daripada 75 pegawai perubatan, anggota paramedik, pemandu dari Kedah, Perak dan Terengganu serta 43 pegawai perubatan dari hospital sekitar Lembah Klang .

“Penugasan mereka ini berkuat kuasa hari ini untuk tempoh satu hingga enam bulan bagi menyokong PKRC MAEPS bagi merawat pesakit Covid-19,” katanya.

Turut ditambah ialah 1,550 silinder oksigen bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan bantuan oksigen di PKRC MAEPS.

“Penambahan silinder oksigen berkenaan meliputi 400 unit silinder oksigen bersaiz 6.8 m3 dan 1,000 unit pembekalan oksigen ke PKRC MAEPS. KKM juga memutuskan untuk membuat perolehan ‘oxygen concentrator’ sebanyak 300 unit dan perolehan bekalan oksigen daripada lebih dari satu pembekal.

“KKM juga akan melaksanakan kerja pengujian dan penyerahan 30 unit ‘oxygen concentrator’ baharu di PKRC MAEPS supaya peralatan berkenaan dapat digunakan segera untuk rawatan pesakit.

“Selain itu, kita juga akan mengoperasikan semula Institut Latihan KKM (ILKKM) di Sungai Buloh yang mempunyai keupayaan maksimum sebanyak 2,400 katil yang membolehkan menempatkan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 supaya PKRC MAEPS dapat memberi tumpuan kepada perawatan dan pemulihan pesakit Covid-19 Kategori 3 dan 4,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, KKM turut menyediakan sukarelawan terutamanya dari Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) bagi membantu menjaga pesakit kanak-kanak yang ibubapa mereka sedang dirawat di hospital kerana dijangkiti Covid-19.

POPULAR