Covid-19: Kes Omicron BA.2 makin meningkat, BA.3 belum lagi dikesan

Penularan varian Omicron BA.2 atau dikenali juga sebagai ‘stealth Omicron’ di Malaysia semakin meningkat dan perlu diambil perhatian, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata dalam tempoh 1 Mac hingga 17 Mac lalu varian itu meningkat kepada 27.1 peratus berbanding Januari dan Februari antara 0.9 peratus dan 2.7 peratus.

“KKM menjangkakan, besar kemungkinan varian Omicron sub-lineage BA.2 akan menjadi varian yang dominan di Malaysia. Justeru, orang ramai perlu berwaspada dengan peningkatan penularan varian Omicron BA.2.

“Pada masa sama, juga kita perlu khuatir kepada penularan berpanjangan varian Delta yang diketahui berupaya mengakibatkan jangkitan yang lebih serius terutama di kalangan mereka yang tidak divaksinasi atau tidak menerima vaksin dos penggalak,” katanya.

Menurutnya melalui kajian dan survelan genomik berterusan yang telah dijalankan menunjukkan bahawa varian Omicron telah mula menggantikan varian Delta sebagai varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia.

Untuk rekod, Variant of Concern (VOC) Omicron terbahagi kepada tiga sub-lineage iaitu BA.1; BA.1.1; dan BA.2. Sehingga 20 Mac 2022, masih belum ada laporan mengenai kewujudan satu lagi sub-lineage iaitu BA.3 di Malaysia.

Kebimbangan terhadap sub-lineage BA.2 adalah kerana ia berkemungkinan mengakibatkan transmisi yang lebih tinggi berbanding dengan sub-lineage Omicron yang lain serta varian Delta.

Di antara tiga sub-lineage varian Omicron yang menular, jumlah pelaporan sub-lineage BA.1.1 dan BA.2 dilihat semakin meningkat. Omicron sub-lineage BA.1.1 telah meningkat daripada 38.3 peratus pada Januari 2022 kepada 48.7 peratus pada Februari 2022, namun menurun kepada 40.0 peratus pada Mac 2022.

Berdasarkan data dikongsi beliau sejak 1 Mac hingga 17 Mac lalu sebanyak 478 varian Delta dikesan, diikuti 72 kes BA.1; 670 kes (BA.1.1); dan 454 kes (BA.2).

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan seramai 1,239 daripada 19,105 jangkitan baharu Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam (20 Mac 2022), membabitkan pesakit dalam kategori 1 hingga 5.

Daripada jumlah itu, 526 atau 42.5 peratus adalah pesakit kategori 3, 4 dan 5, manakala 713 atau 57.5 peratus adalah kategori 1 dan 2, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau memaklumkan seramai 28,250 pesakit telah sembuh semalam menjadikan kumulatif pulih sebanyak 3,684,665 pesakit atau 92.3 peratus daripada 3,993,124 kumulatif kes positif.

Menurutnya dalam tempoh 24 jam semalam juga sebantak 386 kes import dikesan membabitkan 373 warganegara, manakala 13 lagi adalah rakyat asing.

“Kes tempatan pula melibatkan 18,719 kes dengan 18,046 warganegaradan 673 bukan warganegara,” katanya.

Beliau turut berkongsi perincian kes Covid-19 semalam iaitu:

  • Kategori 1: 8,267 kes (43.27%);
  • Kategori 2: 10,645 kes (55.72%);
  • Kategori 3: 81 kes (0.42%);
  • Kategori 4: 44 kes (0.23%); dan
  • Kategori 5: 68 kes (0.36%).

Daripada 193 kes kategori 3, 4, dan 5 itu:

  • 58 kes (30.05%) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi;
  • 78 kes (40.41%) telah menerima dua (2) dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak (booster);
  • 57 kes (29.53%) telah menerima dos penggalak (booster);
  • 92 kes (47.67%) berumur 60 tahun dan ke atas; dan
  • 81 kes (41.97%) mempunyai komorbid.

BERITA BERKAIT
POPULAR