Covid-19: Kes kematian turun

Seramai 63 lagi pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, Isnin (21 Mac 2022), turun berbanding 71 kes pada Ahad, menurut Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Data laman sesawang CovidNOW yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan 21 daripada kes kematian itu melibatkan pesakit yang meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan atau kes brought in death (BID).

Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif kematian akibat Covid-19 di negara ini sejak awal 2020 lalu adalah sebanyak 34,463 kes, termasuk 7,245 kes BID.

Data juga menunjukkan Johor mencatat 14 kes kematian semalam, tertinggi berbanding negeri-negeri lain, menjadikan kumulatif sebanyak 4,351 kes.

Sehingga semalam, negeri itu merekodkan 363,461 kumulatif positif, dengan 341,355 pesakit telah sembuh, dan 17,755 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 16,880 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 68 ditempatkan di PKRC; 774 dimasukkan ke hospital; dan 33 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 26 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bagi negeri-negeri lain pula, Selangor merekodkan 13 kes kematian, diikuti Perak (12); Kedah (empat); dan masing-masing tiga di Pulau Pinang, Sarawak serta Kuala Lumpur.

Melaka, Sabah dan Terengganu pula masing-masing merekodkan dua kes kematian, manakala masing-masing satu kes turut dicatat di Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis dan Labuan.

Tiada kes kematian akibat Covid-19 dicatat di Putrajaya semalam.

BERITA BERKAIT
POPULAR