Covid-19: Kes kematian sebelum tiba di hospital naik di 3 negeri

Kes kematian sebelum tiba ke hospital di tiga negeri meningkat.

Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) mendapati kes kematian sebelum tiba ke hospital (BID) yang berkaitan jangkitan Covid-19, meningkat tujuh kali ganda pada April dan Jun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga hari ini sebanyak 5,327 kematian direkodkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara, dengan 4,856 kes dilaporkan sejak awal tahun ini.

Beliau berkata daripada jumlah kematian pada tahun 2021, sebanyak 670 atau 13.8 peratus adalah kes BID.

“Analisis yang dilakukan CPRC mendapati terdapat kenaikan tren kes-kes kematian BID iaitu sebanyak tujuh kali ganda dari bulan April sebanyak 35 kes sehingga Jun 2021 (246 kes).

“Kebanyakan kes kematian BID ini adalah dari kumpulan umur 50 tahun sehingga 70 tahun iaitu sebanyak 76.7 peratus dengan sekurang-kurangnya satu komorbid (64.5 peratus).

“Tiga negeri yang merekodkan kes kematian BID tertinggi pada tahun ini adalah Selangor iaitu sebanyak 181 kes (27.0 peratus), diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu 78 kes (11.6 peratus), dan Sabah 85 kes (12.7 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai supaya melakukan pemantauan kendiri, teutama apabila disahkan positif Covid-19 dan berada dalam pemantauan di rumah.

Beliau turut menggariskan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian iaitu:

  • Jalani pemeriksaan segera sekiranya bergejala atau merupakan kontak kepada kes yang positif;
  • Amalkan kuarantin kendiri di rumah dengan penuh tanggungjawab sementara menunggu keputusan ujian dan panggilan daripada
  • Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Covid-19 Assessment Centre (CAC);
  • Maklumkan kepada KKM melalui notifikasi kendiri (self-notification) di aplikasi MySejahtera dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau CAC berdekatan sekiranya didapati positif sama ada melalui ujian RT-PCR atau RTK Antigen; dan
  • Segera laporkan sebarang “warning signs” dan dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berdekatan. Tanda amaran merupakan gejala yang memberi petanda bahawa keadaan seseorang pesakit Covid-19 semakin teruk.

Antara tanda amaran yang memerlukan rawatan segera adalah seperti berikut:

  • Demam berpanjangan;
  • Kesukaran bernafas;
  • Sakit dada;
  • Kurang selera makan dan minum;
  • Kelesuan bertambah teruk;
  • Perubahan pada status mental seperti kurang tahap sedar dan kekeliruan;
  • Batuk, muntah, dan cirit yang semakin teruk;
  • Kurang buang air kecil;
  • Bibir atau jari menjadi kebiruan; dan
  • Ketepuan oksigen <95%.

Sehubungan itu ahli keluarga atau rakan serumah dinasihatkan agar prihatin dan peka terhadap keadaan dan kesihatan pesakit Covid-19 dengan memanfaatkan teknologi komunikasi untuk memantau kesihatan pesakit sepanjang pemantauan kuarantin di rumah.

POPULAR