Covid-19: Kes di sembilan negeri naik semula, semua bawah 800

Jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi di beberapa negeri naik semula, dengan Selangor kembali berada di tangga teratas jumlah kes terbanyak.

Semalam, Selangor merekodkan jumlah jangkitan harian terendah sejak April lalu apabila mencatat 380 kes, namun, hari ini angka itu tidak dapat bertahan apabila 736 individu dijangkiti Covid-19.

Setakat ini Selangor merekodkan 778,292 kumulatif kes positif, dengan 753,105 pesakit telah sembuh, 9,889 kematian, dan 83 kluster masih aktif.

Sehingga semalam, negeri itu turut merekodkan 14,562 kes aktif dengan 13,304 pesakit kini menjalani kuarantin di rumah; 415 ditempatkan di PKRC; 777 dimasukkan ke hospital dan 66 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 42 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Secara keseluruhannya, 94.0 peratus atau 4,753,526 populasi di Selangor telah lengkap divaksinasi, 95.4 peratus atau 4,831,385 menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 980,298 individu menerima suntikan dos penggalak.

Negeri lain yang mencatat peningkatan ialah Kelantan sebanyak 396 kes baharu berbanding 249 semalam; diikuti Johor (378 kes baharu, 355 semalam; dan Kuala Lumpur (258 kes baharu, 186 semalam).

Sabah pula mencatat 156 kes baharu berbanding 122 semalam; Melaka (119 kes baharu, 88 semalam); Perak (114 kes baharu, 112 semalam); Putrajaya (35 kes baharu, 30 semalam); dan Perlis (27 kes baharu, 20 semalam).

Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi seramai 4,278 pesakit disahkan pulih menjadikan kumulatif 2,642,469 kes sembuh, berbanding 2,724,684 kumulatif kes positif.

Beliau juga memaklumkan daripada jumlah jangkitan baharu hari ini, 58 membabitkan kes import termasuk melibatkan tujuh rakyat asing, manakala 3,082 adalah penularan tempatan dengan 172 membabitkan warganegara asing.

“Dalam tempoh itu empat lagi kluster dikesan menjadikan keseluruhannya 6,086 kluster dengan 5,839 telah ditamatkan dan 247 lagi masih aktif.

“Daripada 3,140 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 64 kes atau 2.0 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 3,076 kes (98.0 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Sehingga hari ini seramai 353 pesakit masih dirawat di ICU, dengan 189 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR