Covid-19: Kes aktif di Langkawi melonjak, 10 pelancong ditahan

Jumlah kes aktif Covid-19 di Pulau Langkawi melonjak kepada 711 kes semalam, berbanding 445 kes yang direkodkan dalam tempoh 24 jam pada Selasa, lapor Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi (PKDLangkawi), semalam.

Pada masa sama, jumlah jangkitan harian semalam juga meningkat kepada 95 kes berbanding 50 kes pada Selasa, naik dua hari berturut-turut setelah mencatat 49 kes pada Isnin.

Empat daripada enam mukim di pulau peranginan itu merekodkan peningkatan kes dengan Mukim Bohor mencatatkan lonjakan daripada enam kes pada Selasa kepada 29 kes semalam, diikuti Kuah dengan 27 kes baharu berbanding sembilan kes pada Selasa.

Mukim Ayer Hangat pula merekodkan 18 kes baharu semalam, berbanding empat kes yang dicatat pada Selasa, manakala Ulu Melaka mencatat sembilan kes baharu berbanding enam kes pada Selasa.

PKDLangkawi memaklumkan 50 kes baharu dikesan menerusi saringan bergejala, 44 daripada saringan kontak rapat dan satu kes daripada Kluster Dah Teluk Nibung.

Secara keseluruhan sejak Covid-19 melanda negara awal tahun lalu, pulau peranginan itu mencatat 5,591 kes positif dengan 5,031 disahkan sembuh serta 71 kematian.

Polis menahan 10 pelancong dari Kuala Lumpur berusia 23 hingga 31 tahun dan merampas dadah serta ubat batuk dalam serbuah di sebuah bilik hotel di Pantai Tengah, Langkawi, awal pagi semalam. – Gambar Polis Langkawi

Sementara itu, polis Langkawi menahan 10 pelancong dalam sebuah bilik selain merampas sejumlah dadah serta ubat batuk di sebuah hotel di Pantai Tengah, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi Shariman Ashari, berkata kumpulan lelaki berusia di antara 23 dan 31 tahun itu ditahan pada 1.30 pagi semalam.

“Berbekalkan maklumat awam kerana mencurigai aktiviti sekumpulan lelaki, sepasukan polis membuat serbuan dan mendapati 10 lelaki berada dalam sebuah bilik di hotel itu.

“Pemeriksaan fizikal ke atas semua suspek dan sekitar bilik menemukan lapan peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis ketamin seberat 7.20g, selain dua botol ubat batuk,” katanya

Siasatan mendapati semua suspek adalah pelancong dari Kuala Lumpur dan sedang bercuti di pulau itu, susulan pembukaan projek rintis gelembung pelancongan.

BERITA BERKAIT
POPULAR