Covid-19: Kematian meningkat

Jumlah kematian akibat komplikasi Covid-19 di seluruh negara semalam (Selasa, 1 Mac 2022) meningkat lagi, dengan hampir separuh daripadanya melibatkan pesakit yang meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan atau kes BID.

Hanya empat negeri dan Wilayah Persekutuan – Perlis, Sarawak, Labuan dan Putrajaya – tidak merekodkan kematian akibat Covid-19, semalam.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tempoh 24 jam semalam seramai 78 pesakit Covid-19 meninggal dunia, termasuk 34 daripadanya melibatkan kes BID.

Bagaimanapun, tiada statistik diberikan sama ada 34 kes BID itu melibatkan kalangan 282,283 pesakit yang diperintah menjalani kuarantin di rumah.

Jumlah kematian baharu semalam menjadikan kumulatif sejak awal 2020 lalu, meningkat kepada 32,827 kes – keempat tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Indonesia, Filipina, dan Vietnam.

Jumlah kumulatif itu juga termasuk 6,744 kes BID (brought in death).

Berdasarkan taburan kematian mengikut kumpulan umur seminggu yang lalu bagi seluruh Malaysia, 24.5 peratus kematian melibatkan pesakit berusia 70 hingga 79 tahun, diikuti 22.9 peratus (80 tahun dan ke atas); 18.7 peratus (60-69 tahun); 13.2 peratus (50-59 tahun); 10.3 peratus (40-49 tahun); 5.8 peratus (30-39 tahun); 2.6 peratus (18-29 tahun); dan masing-masing 1.0 peratus bagi kumpulan usia 5-11 tahun, serta 0-4 tahun.

Daripada negeri-negeri yang mencatat kes kematian akibat Covid-19 semalam, Johor merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 21 kes, termasuk lima kes BID.

Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian di Johor sebanyak 4,081 kes, termasuk 534 kes BID.

Sehingga semalam, Johor merekodkan 321,627 kumulatif positif, dengan 294,978 pesakit telah sembuh, dan 22,568 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 21,323 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 145 ditempatkan di PKRC; 1,066 dimasukkan ke hospital; dan 34 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 24 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga Isnin, seramai 3,058,200 atau 80.6 peratus populasi di Johor telah lengkap divaksinasi, 3,212,307 atau 84.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 1,924,107 atau 70.4 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Sementara itu, Kedah juga merekodkan kes kematian yang tinggi semalam iaitu sebanyak 15 kes, manakala Selangor (13 kes).

Ini diikuti Perak sebanyak sembilan kes; Sabah (enam); Pulau Pinang (lima); masing-masing dua kes di Kelantan, Melaka, serta Terengganu; dan masing-masing satu kes di Negeri Sembilan, Pahang serta Kuala Lumpur.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 1 Mac 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR