
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan, termasuk Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sembilan peratus pada Minggi Epidemologi (ME) ke-28 2022, berbanding ME 27.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kemasukan ke fasiliti kesihatan bagi pesakit kategori 1 dan 2 meningkat sebanyak 33 peratus; manakala bagi kategori 3, 4, dan 5, naik sebanyak 33 peratus.
Menurutnya dari segi peratusan pengisian katil fasiliti Covid-19 berbanding ME-27/2022 adalah seperti berikut:
Katil bukan kritikal, meningkat sebanyak dua peratus;
Katil Unit Rawatan Rapi (ICU), meningkat sebanyak tiga peratus; dan
Katil PKRC, kekal tiada perubahan.
Selain itu, Dr Noor Hisham berkata kes-kes positif yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara juga telah menunjukkan peningkatan.
Berikut adalah perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 27/2022 dan ME 28/2022:
Bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 23.1 peratus;
Bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 41.3 peratus; dan
Bilangan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke PKRC dan hospital meningkat sebanyak 18.2 peratus.
“Untuk trend kes aktif harian Covid-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada akhir ME 28/2022 ianya meningkat 33.8 peratus berbanding pada akhir ME 27/2022 (dari 53,306 kes kepada 71,326 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya bilangan kes kematian pada ME 28/2022 menunjukkan peningkatan sebanyak 2.6 peratus (38 kes kepada 39 kes) berbanding ME 27/2022, manakala purata kes aktif setiap hari bagi ME 28/2022 adalah 38,110 iaitu peningkatan sebanyak 18.6 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Dr Noor Hisham juga memaklumkan kadar positif sampel Influenca-Like Illness (ILI) bagi Covid-19 pada ME 28/2022 meningkat sebanyak 8.5 peratus daripada 10.6 peratus pada ME 27/2022 kepada 11.5 peratus pada ME 28/2022.
Sementara kadar positif sampel Severe Acute Rispiratory Infection (SARI) bagi Covid-19, kekal 0 peratus pada ME 28/2022.