
Kemasukan ke hospital dan pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 bagi setiap 100,000 penduduk meningkat 11 peratus antara 19 hingga 25 Jun berbanding minggu sebelumnya.
Kemasukan ke fasiliti penjagaan kesihatan awam, kes aktif dan jangkitan baharu semakin meningkat dalam tempoh minggu epidemiologi (ME) ke-25, antara 19 dan 25 Jun.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kemasukan ke hospital dan pusat kuarantin dan rawatan (PKRC) Covid-19 bagi setiap 100,000 penduduk meningkat 11 peratus berbanding minggu sebelumnya.
“Pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital bagi setiap 100,000 orang telah meningkat 28 peratus dengan pesakit Kategori 1 dan 2 meningkat sebanyak 14 peratus manakala Kategori 3, 4 dan 5 mencatatkan peningkatan sebanyak 45 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata kadar penggunaan katil biasa, unit rawatan rapi dan PKRC, bagaimanapun, kekal sama dalam ME25.
Beliau berkata kes yang dipantau Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara juga meningkat.
“Jumlah pesakit yang datang ke CAC meningkat 22 peratus, manakala kes baharu yang menjalani pengasingan di rumah meningkat 16.5 peratus. Kes Covid-19 dirujuk ke hospital dan PKRC juga meningkat 18.9 peratus.
“Pada ME24, CAC merekodkan 4,132 kes, pengasingan di rumah mencatatkan 2,297 kes manakala fasiliti kesihatan awam menerima 137 kes.
“Semasa ME25, kes di CAC meningkat kepada 5,043, kes di bawah pengawasan rumah meningkat kepada 3,026 manakala 163 kes dirujuk ke hospital atau PKRC,” kata Dr Noor Hisham.
Beliau menambah bahawa kes yang dipantau oleh CAC secara maya telah meningkat daripada 27,247 ketika ME24 kepada 34,639 dalam ME25.
Ini, kata Dr Noor Hisham, juga mencerminkan purata kes aktif dalam ME25 telah meningkat sebanyak 12.1 peratus kepada 26,946.
Dr Noor Hisham berkata jangkitan baharu juga menunjukkan trend menaik dengan peningkatan 10.9 peratus daripada 14,195 dalam ME24 kepada 15,201 pada minggu berikutnya.
“Terdapat sedikit peningkatan dari segi penularan tempatan daripada 14,187 kepada 15,201, tetapi kes import menyaksikan lonjakan ketara daripada hanya lapan kes kepada 538 kes.”
Mengenai kematian, beliau berkata terdapat trend menurun dengan 21 kematian dilaporkan pada ME24 manakala 13 dilaporkan dalam ME25.