Covid-19: Kedah catat 28 kematian, tertinggi sejak September tahun lalu

Jumlah kematian akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam meningkat kepada 92 pesakit berbanding 87 kes pada Ahad, menurut statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM), tengah malam tadi.

Jumlah itu termasuk 33 pesakit meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan sebelum dibawa ke hospital atau kes ’brought in death’ (BID).

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada jumlah kematian BID semalam turut melibatkan 298,123 individu yang menjalani kuarantin di rumah kerana sehingga kini tiada maklumat yang diberikan oleh KKM.

Jumlah kematian semalam menjadikan kumulatif sejak awal 2020 meningkat kepada 33,899 kes, termasuk 7,076 kes BID, keempat tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Indonesia, Filipina dan Vietnam.

Statistik laman sesawang CovidNOW yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan Kedah merekodkan 28 kes kematian semalam – tertinggi pernah dicatat sejak September tahun lalu.

Jumlah itu menjadikan kumulatif sejak awal 2020 lalu hingga semalam meningkat kepada 2,434 kes kematian, termasuk 403 kes BID.

Sehingga semalam Kedah merekodkan 271,236 kumulatif positif, dengan 239,698 pesakit telah sembuh, dan 29,104 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 28,376 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 130 ditempatkan di PKRC; 561 dimasukkan ke hospital; dan 37 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 11 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga 13 Mac, seramai 1,580,098 atau 72.0 peratus daripada populasi di Kedah telah lengkap divaksinasi, 1,650,546 atau 75.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 695,760 atau 44.7 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Bagi negeri-negeri lain, Johor merekodkan 15 kematian semalam, diikuti Selangor (14 kes); Pulau Pinang (tujuh); Perak (enam); masing-masing lima di Negeri Sembilan, Pahang, dan Sabah; masing-masing tiga di Sarawak serta Terengganu; dan satu kes di Kelantan.

Tiada kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Melaka, Perlis, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, semalam.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 14 Mac 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR