Covid-19: Jururawat swasta terlatih bantu tangani kes di hospital kerajaan

Kebanyakan hospital swasta bersetuju menyalurkan jururawat terlatih kepada kerajaan bagi membantu menguruskan pesakit Covid-19 di hospital terpilih di Lembah Klang, secara berkala.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Datuk Dr Kuljt Singh berkata bantuan ini berdasarkan kepada keadaan semasa Covid-19 di hospital awam, terutamanya di Lembah Klang yang kini berhadapan kadar kemasukan ke wad yang tinggi dan kekurangan kakitangan.

“Kementerian Kesihatan telah memohon kepada Persatuan Hospital Swasta Malaysia bagi mendapatkan bantuan daripada ahlinya, untuk jururawat, pegawai perubatan dan pakar, untuk bertugas di hospital kerajaan.

“Sebagai menjawab permintaan itu kebanyakan kumpulan hospital swasta dan beberapa hospital tersendiri bersetuju untuk membekalkan jururawat terlatih sebagai langkah pertama secara berkala kepada kerajaan untuk membantu menguruskan pesakit Covid-19 di hospital awam terpilih di Lembah Klang.

“Kami akan membantu mereka dengan pegawai perubatan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata hospital swasta telah membantu negara dalam menangani wabak ini dengan menyediakan alat bantuan pernafasan, melakukan ujian dan merawat pesakit Covid-19 sejak Januari tahun ini.

Dr Kuljit berkata, walaupun hospital swasta besar juga telah terlibat dengan program vaksinasi Covid-19 seperti IHH Healthcare, KPJ Healthcare, Sunway dan Hospital Ramsay Sime Darby, juga kekurangan kakitangan, hospital swasta bersedia untuk membantu kerajaan dalam menguruskan situasi tersebut.

Oleh sebab itu, beliau berkata persatuan telah mengesa ahlinya untuk bersedia menerima pesakit bukan Covid-19 yang dirujuk daripada hospital kerajaan, bagi menyediakan kapasiti yang lebih bagi merawat pesakit Covid-19 di hospital awam.

“Kami berharap pesakit yang dirujuk itu dihantarkan secara sama rata ke semua hospital swasta, dalam memastikan rawatan dan penjagaan terbaik dapat diberikan kepada pesakit awam dan ia akan dibayar sepenuhnya oleh kerajaan seperti dinyatakan dalam Ordinan Darurat,” katanya.

Selain daripada itu beliau berkata, hospital kerajaan akan terus membantu kerajaan untuk memberikan 12 juta dos vaksin yang dijangka diterima bulan ini dengan 100 hospital swasta pada masa ini sedang membantu memberikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR