Covid-19: Jumlah pesakit sembuh hari ini paling tinggi

Jumlah pesakit Covid-19 yang dilaporkan sembuh dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi merekodkan angka tertinggi sejak wabak itu melanda negara awal tahun lalu, dengan 23,473 kes dicatatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka itu menjadikan keseluruhan kes sembuh sebanyak 1,506,273 daripada 1,786,004 kes positif yang direkodkan sejak tahun lalu.

Pada masa sama beliau berkata dalam tempoh 24 jam itu juga 249 pesakit, termasuk 51 bukan rakyat Malaysia, meninggal dunia menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 17,191 kes kematian.

Katanya, 80 kes juga membabitkan kematian sebelum dibawa ke hospital yang turut melibatkan 34 pesakit bukan warganegara Malaysia.

Sebanyak 262,540 kes masih aktif, manakala 1,001 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala 416 pesakit lagi turut dirawat di ICU kerana disyaki dijangkiti Covid-19.

Sebanyak 783 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan dengan 470 kes disahkan Covid-19, manakala 313 lagi hanya disyaki dan masih dalam siasatan.

Terdahulu beliau memaklumkan jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam itu meningkat semula kepada 20,988 kes, termasuk 2,552 bukan warganegara, setelah turun kepada 18,762 kes semalam, menjadikan keseluruhan jangkitan sejak wabak melanda negara awal tahun lalu kepada 1,786,004 kes.

“Daripada 20,988 kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 341 kes atau 1.6 peratus adalah daripada kategori 3, 4 dan 5, manakala 20,647 kes (98.4 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Secara keseluruhan, 9,860 kes (47.0 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini tiada sejarah vaksinasi, 4,995 kes (23.8 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala 6,133 kes (29.2 peratus) mempunyai sejarah vaksinasi lengkap,” katanya.

Sementara itu mengenai kapasiti dan penggunaan katil hospital, beliau berkata, sehingga jam 5 petang semalam secara keseluruhannya sebanyak 78 peratus katil bukan unit rawatan rapi (ICU) digunakan, manakala 90 peratus lagi membabitkan katil ICU.

Penggunaan katil ICU melebihi 100 peratus direkodkan di Sabah sebanyak 126% daripada 145 katil; Kedah (121% daripada 104 katil); dan Perak (107% daripada 90 katil).

Manakala penggunaan katil bukan ICU melebihi 100 peratus pula direkodkan di Pulau Pinang sebanyak 117% daripada 829 katil; Perlis (102% daripada 185 katil); dan Johor (101% daripada 2,461 katil).

Dr Noor Hisham juga berkata dalam tempoh 24 jam itu 31 lagi kluster baharu dikesan menjadikan keseluruhannya 4,804 kluster dengan 3,316 telah ditamatkan dan 1,488 lagi masih aktif.

Katanya, sebanyak 17 kluster membabitkan tempat kerja, komuniti (sembilan), kumpulan berisiko tinggi (empat iaitu dua di Johor dan masing-masing satu di Pulau Pinang dan Selangor), dan satu kluster pendidikan tinggi di Sabah.

Empat kluster tempat kerja masing-masing direkodkan di Selangor dan Sarawak; masing-masing tiga di Johor dan Pulau Pinang; Melaka (dua) dan satu di Kelantan.

Kelantan juga masih merekodkan jangkitan dalam komuniti yang tinggi iaitu membabitkan lima kluster; Sarawak (dua) dan masing-masing satu di Johor dan Pahang.

BERITA BERKAIT
POPULAR