Covid-19: Jumlah kluster aktif makin kurang

Jumlah kluster Covid-19 yang dikesan sejak awal bulan ini menunjukkan trend penurunan, tatkala Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menghampiri kemuncak 90 peratus individu dewasa lengkap divaksinasi.

Sehingga semalam 89.1 peratus atau 20,856,337 individu dewasa telah melengkapkan dos vaksin Covid-19 masing-masing, manakala 22,153,302 atau 94.6 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, 10 kluster baharu dikesan di seluruh negara membabitkan jangkitan di tempat kerja, komuniti, kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan tinggi. Jumlah hari ini adalah yang kedua terendah bulan ini selepas enam kluster direkod pada 3 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah terbaharu kluster itu menjadikan keseluruhan sejak awal tahun lalu sebanyak 5,570 kluster dengan 4,696 telah ditamatkan.

Jumlah kluster yang masih aktif juga turun kepada 874 kluster berbanding 911 yang dilaporkan sehingga semalam.

Berdasarkan statistik dikongsi Dr Noor Hisham, enam daripada kluster baharu membabitkan tempat kerja, komuniti (dua) dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan tinggi.

Selangor merekodkan dua kluster tempat kerja membabitkan daerah Klang dan Sabak Bernam dengan jangkitan seramai 41 individu, diikuti masing-masing satu kluster di Cheras, Kuala Lumpur (12 individu); Perak Tengah (29 individu); Melaka Tengah (15 individu); dan Kluang, Johor (12 individu).

Pahang pula merekodkan dua kluster komuniti iaitu masing-masing di Temerloh dengan 35 jangkitan, dan Cameron Highlands (27 jangkitan).

Kelantan juga mencatatkan satu kluster kumpulan berisiko tinggi yang menular di Bachok, Tumpat dan Kota Bharu membabitkan 10 individu, manakala Kuala Lumpur pula melaporkan satu kluster pendidikan tinggi dengan enam jangkitan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata daripada 9,751 kes harian yang direkodkan hari ini, 2.1 peratus atau 206 pesakit adalah daripada kategori 3, 4, dan 5, manakala 9,545 atau 97.9 peratus lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Kategori 1 dan 2 adalah pesakit tidak bergejala dan bergejala ringan, manakala kategori 3 (bergejala dan mengalami radang paru-paru), kategori 4 (bergejala, mengalami radang paru-paru dan memerlukan alat bantuan pernafasan), dan kategori 5 (bergejala, kritikal dan memerlukan rawatan intensif di unit rawatan rapi).

Beliau turut memaklumkan dalam tempoh 24 jam itu seramai 12,724 pesakit disahkan sembuh menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu kepada 2,170,289 kes, berbanding 2,323,478 kes positif.

BERITA BERKAIT
POPULAR