[KEMAS KINI] Covid-19: Jumlah kes sembuh melebihi 1.4 juta pesakit

Jumlah kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 sejak wabak itu menular dalam negara awal tahun lalu kini meningkat kepada lebih 1.4 juta, berbanding jumlah kes positif falam tempoh itu sebanyak 1,685,510 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, 19,492 pesakit disahkan sembuh menjadikan keseluruhannya 1,401,160 kes.

Pada masa sama beliau berkata 252 pesakit, termasuk 37 bukan warganegara, meninggal dunia, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 15,802 kes kematian.

“Tiga puluh dua kes meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital (BID) turut dilaporkan.

“Sebanyak 268,548 kes masih aktif, manakala 986 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi, dengan 451 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Terdahulu beliau memaklumkan jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lalu, naik semula kepada 22,597 kes berbanding 22,070 kes yang dilaporkan semalam.

Sebanyak 3,917 kes membabitkan rakyat asing turut dilaporkan.

Dr Noor Hisham berkata, daripada kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 468 kes atau 2.1 peratus adalah daripada kategori 3, 4 dan 5, manakala sebanyak 22,129 kes (97.9 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Secara keseluruhan, 17,345 kes (76.8 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi,” katanya.

Mengenai kadar kebolehjangkitan pula beliau berkata, berdasarkan data terkini pada 27 Ogos 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.01.

Katanya negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Sarawak iaitu RT 1.23, diikuti oleh Perlis (nilaiRT 1.21), dan Sabah (nilai RT 1.18). Terdapat enam (6) negeri yang mencatatkan nilai RT kurang daripada 1.0 iaitu Melaka, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Data 28 Ogos 2021.

Katanya, dalam tempoh 24 jam itu sebanyak 36 lagi kluster baharu dikesan menjadikan keseluruhannya 4,647 kluster, dengan 3,179 telah ditamatkan dan 1,468 masih aktif.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kluster itu, jangkitan di tempat kerja merekodkan sebanyak 23 kluster, komuniti (12 kluster) dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi di Johor Bahru.

Johor dan Selangor masing-masing mencatatkan enam kluster tempat kerja, masing-masing tiga di Kuala Lumpur dan Pahang, dan masing-masing satu di Sabah, Pulau Pinang, Sarawak, Kelantan dan Perak.

Lima kluster komuniti dilaporkan di Kelantan, Sarawak (tiga), dan masing-masing satu di Perak, Pahang, Sabah, dan Selangor.

BERITA BERKAIT
POPULAR