Covid-19: Jumlah kes baharu turun tiga hari berturut-turut

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 turun lagi buat hari ketiga hari ini apabila merekodkan 17,236 kes, berbanding kali terakhir paling tinggi direkodkan pada 6 Ogos lalu sebanyak 20,889 jangkitan.

Semalam sebanyak 18,688 kes positif direkodkan, manakala 19,257 dilaporkan pada Sabtu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata angka terbaharu itu menjadikan kumulatif sejak pandemik melanda negara awal tahun lalu kepada 1,279,776 kes.

Selangor kekal menjadi negeri yang menyumbang jumlah tertinggi jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi dengan merekodkan 5,740 kes walaupun jangkitan di negeri itu semakin menurun sejak beberapa hari lalu.

Jangkitan di Kuala Lumpur juga semakin turun apabila mencatatkan 1,567 kes hari ini, berbanding 1,883 kes semalam.

Mengikut data dikeluarkan Kementerian Kesihatan hari ini, sembilan negeri menunjukkan peningkatan, termasuk lonjakan semula jangkitan di Perlis yang merekodkan 22 kes berbanding enam jangkitan semalam.

Sabtu lalu Perlis merekodkan jumlah tertinggi jangkitan iaitu sebanyak 41 kes baharu.

Negeri-negeri lain yang merekodkan peningkatan kes ialah Sarawak sebanyak 589 jangkitan; Pulau Pinang (908 kes); Perak (935 kes); Negeri Sembilan (1,215 kes); Kelantan (914 kes); Labuan (lapan kes); dan Putrajaya (66 kes).

BERITA BERKAIT
POPULAR