Covid-19: Jumlah kehadiran di Parlimen termasuk wakil rakyat diteliti

Dewan Rakyat akan meneliti kemungkinan mengehadkan jumlah kakitangan kerajaan, termasuk Ahli Parlimen, bagi menghadiri Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang dijadualkan bermula 6 September depan, dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata langkah itu bertujuan memastikan kelancaran persidangan Parlimen dan mengelakkan kejadian penularan Covid-19 berulang seperti yang berlaku pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat hujung Julai lalu.

Terdahulu, Agenda Daily melaporkan seorang pegawai di kementerian yang bertugas di Parlimen pada hujung Julai lalu meninggal dunia akibat dijangkiti varian Delta Covid-19.

Pegawai tersebut menghadiri sidang khas yang bermula 26 Julai lepas dan kali terakhir berada di Parlimen pada 29 Julai mulai menunjukkan simptom pada 30 Julai, lapor portal MalaysiaNow.

Agenda Daily mendapatkan pengesahan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung laporan tersebut dan disahkan mangsa seorang pegawai khas kepada seorang Timbalan Menteri di kementerian yang tidak dapat didedahkan.

Memetik laporan Bernama Mohd Rashid berkata Jawatankuasa Dewan Rakyat akan berbincang dengan ketua-ketua whip parti kerajaan dan pembangkang dalam tempoh terdekat berdasarkan nasihat yang akan dikemukakan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Seperti sebelum ini, Jawatankuasa Dewan Rakyat akan panggil semua ketua-ketua whip daripada parti kerajaan dan pembangkang untuk berbincang (jumlah kehadiran Ahli Parlimen).

“Belajar daripada apa yang berlaku pada sidang khas Dewan Rakyat baru-baru ini, kita perlukan langkah pencegahan yang lebih mantap,” katanya.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung pada 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos, hanya bersidang selama empat hari dan terpaksa ditangguhkan berikutan berlaku penularan jangkitan Covid-19 di bangunan Parlimen.

Sehingga 8 Ogos, sebanyak 88 kes positif wabak berkenaan dikesan melibatkan individu yang menghadiri sidang khas itu.

Mengenai usul percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan dibawa ke sidang Dewan Rakyat pada September, Mohd Rashid berkata Parlimen belum menerima usul tersebut.

“…kita belum terima lagi setakat hari ini. Bagi usul kerajaan tempoh penghantarannya tidak terlalu jauh dari tarikh persidangan berbanding usul peribadi yang perlu dihantar dalam tempoh 14 hari sebelum bersidang,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin menegaskan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri serta kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan menerusi usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, September ini.

Dalam pada itu, Mohd Rashid berkata notis pemberitahuan kepada Ahli Parlimen dalam proses untuk diedarkan bagi membolehkan mereka menyediakan soalan untuk sesi soal jawab lisan dan lain-lain.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 15 hari bermula 6 hingga 30 September 2021, manakala Mesyuarat Kedua pula berlangsung selama 32 hari mulai 25 Oktober hingga 16 Disember 2021.

Istiadat pembukaan sidang Dewan Rakyat akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 6 September.

BERITA BERKAIT
POPULAR