Covid-19: Jangkitan baharu di Lembah Klang meningkat semula

Jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi naik semula kepada 20,988 kes, setelah turun kepada 18,762 kes yang direkodkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah angka itu menjadikan keseluruhan jangkitan sejak wabak melanda negara awal tahun lalu kepada 1,786,004 kes.

Berdasarkan data dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, jumlah jangkitan baharu di Lembah Klang – merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya – meningkat kembali dengan Selangor mencatatkan 4,073 kes dikesan hari ini berbanding 3,711 kes semalam; Kuala Lumpur (731 hari ini, 573 semalam); dan Putrajaya (37 hari ini, 34 semalam).

Hanya empat negeri iaitu Sabah, Pulau Pinang, Pahang dan Kelantan mencatatkan penurunan jangkitan baharu dalam tempoh itu.

Sembilan negeri dan wilayah yang lain turut merekodkan peningkatan kes.

Jumlah kes di Kedah melonjak semula daripada 1,585 kes semalam kepada 2,455 kes hari ini, diikuti Sarawak (2,992 hari ini, 2,414 semalam); Johor (2,145 hari ini, 1,993 semalam); Perak (990 hari ini, 899 semalam); Terengganu (987 hari ini, 506 semalam); dan Kuala Lumpur (731 hari ini, 573 semalam).

Melaka pula mencatatkan 407 jangkitan baharu hari ini, berbanding 309 kes semalam; Negeri Sembilan (301 hari ini, 291 semalam); Perlis (90 hari ini, 33 semalam); Putrajaya (37 hari ini, 34 semalam); dan Labuan (5 hari ini, 3 semalam).

BERITA BERKAIT
POPULAR