Covid-19: Jangkitan baharu di Langkawi naik lagi, 464 kes aktif

Kes aktif Covid-19 di Pulau Langkawi sehingga 12 tengah hari tadi meningkat kepada 464 kes berbanding 412 yang direkodkan sehingga semalam.

Berdasarkan statistik dikemas kini Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi (PKDLangkawi) angka itu meningkat susulan pertambahan jumlah jangkitan baharu dalam tempoh berkenaan.

Dalam tempoh 24 jam itu Langkawi merekodkan 76 jangkitan baharu, berbanding 66 kes semalam.

Secara keseluruhan, sejak pandemik melanda negara ini, Langkawi merekodkan 5,358 kes positif, namun 4,824 pesakit telah sembuh. Dalam tempoh itu juga 70 kematian dilaporkan di pulau itu sehingga hari ini.

Daripada 76 jangkiatn baharu yang direkodkan hari ini, 33 pesakit dikesan menerusi saringan kontak rapat; 24 kes saringan bergejala dan 19 lagi adalah daripada Kluster Dah Teluk Nibung.

Kluster ini dikategorikan sebagai jangkitan di tempat kerja Jalan Pantai Kok, di Mukim Padang Matsirat, di mana semalam sahaja daripada 239 individu yang disaring, 32 dikesan positif.

Gugusan 99 pulau peranginan itu dibuka kepada pelancong mulai 16 September lalu, dengan dikenakan protokol kesihatan yang ketat, termasuk ujian saringan sebelum menaiki pesawat atau feri serta semasa ketibaan di Langkawi.

Sehingga hari ini secara rasmi hanya seorang pelancong tempatan iaitu kanak-kanak berusia tiga tahun disahkan positif Covid-19 ketika berada di pulau peranginan itu.

Kanak-kanak berasal dari Nilai, Negeri Sembilan itu tiba di pulau peranginan berkenaan pada 24 September bersama ibu bapanya, dan mulai demam sehari kemudian sebelum disahkan positif Covid-19 pada 26 September.

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan Ketua Wanita UMNO Bahagian Langkawi, Hisham Suhaily Othman yang dijangkiti Covid-19, beberapa rakannya dari negeri lain yang melancong ke pulau itu turut positif setelah kembali ke negeri asal mereka.

Pulau peranginan popular itu dibuka semula menerusi Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi.

BERITA BERKAIT
POPULAR