Covid-19: Jangkitan baharu di 12 negeri naik, Selangor catat 1,021 kes

Dua belas daripada 16 negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan peningkatan kes harian Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menurut statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri, malam ini.

Daripada 4,097 jangkitan baharu hari ini, Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, menyumbang jumlah tertinggi sebanyak 1,365 kes.

Daripada jumlah itu, Selangor mencatat 1,021 kes baharu, berbanding 682 kes semalam, menjadikan kumulatif kes positif di negeri itu sebanyak 771,180 dengan 743,737 pesakit telah sembuh, dan 9,862 kematian.

Selangor juga mencatat 17,581 kes aktif, termasuk 14,680 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 862 ditempatkan di PKRC; 947 dimasukkan ke hospital; dan 71 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 42 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 75 kluster juga dilaporkan masih aktif di negeri itu, dengan 44 daripadanya adalah kluster tempat kerja, pendidikan (19), komuniti (enam), kumpulan berisiko tinggi (lima kluster), dan satu di pusat tahanan.

Negeri lain yang merekodkan peningkatan kes hari ini ialah Johor, Pahang, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Sabah, Negeri Sembilan, Melaka, Sarawak, Perlis dan Labuan.

Kes di Johor meningkat daripada 378 semalam kepada 436 hari ini; diikuti Pahang (329 kes baharu, 279 semalam); Kuala Lumpur (317 kes baharu, 218 semalam); dan Pulau Pinang (285 kes baharu, 276 semalam).

Kedah pula merekodkan 267 kes baharu berbanding 263 semalam; Sabah (232 kes baharu, 181 semalam); Negeri Sembilan (159 kes baharu, 120 semalam); Melaka (159 kes baharu, 143 semalam); Sarawak (64 kes baharu, 47 semalam); Perlis (39 kes baharu, 24 semalam); dan Labuan (12 kes baharu, lapan semalam).

Sementara itu, jumlah pesakit yang dirawat di ICU seluruh negara turun kepada 382 pesakit dengan 201 memerlukan alat bantuan pernafasan, berbanding 408 pesakit semalam, termasuk 206 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan seramai 4,301 pesakit disahkan sembuh menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu sebanyak 2,610,610 kes pulih, berbanding 2,699,240 kumulatif kes positif.

“Daripada 4,097 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 86 kes atau 2.1 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 4,011 kes (97.9 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Sebanyak enam kluster baharu dikesan hari ini menjadikan keseluruhannya 6,049 kluster Covid-19, dengan 5,804 telah ditamatkan dan 245 lagi masih aktif,” katanya.

Beliau juga berkata daripada keseluruhan kes baharu hari ini, 4,079 adalah jangkitan tempatan yang turut melibatkan 258 bukan rakyat Malaysia, dan 18 kes import, termasuk tiga rakyat asing.

BERITA BERKAIT
POPULAR