Covid-19: Individu lengkapi dua suntikan bakal dapat ‘keistimewaan’

Lebih 2.46 juta individu yang melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 bakal memperoleh ‘keistimewaan’ dalam menjalankan urusan harian apabila garis panduan baharu untuk mereka dijangka dikeluarkan minggu depan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata garis panduan baharu kepada penerima yang melengkapkan dua dos suntikan itu akan memberi kelonggaran kepada mereka.

Bagaimanapun katanya, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) akan membuat kajian terperinci dalam menyediakan garis panduan berkenaan yang akan dibentangkan pada peringkat jawatankuasa sebelum dibawa ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita mungkin akan keluarkan garis panduan mengenai apa yang anda boleh lakukan selepas anda sudah menerima sepenuhnya dua dos vaksin.

“Bagaimanapun, buat masa ini, dengan penularan varian Delta, kita lebih berhati-hati,” katanya kepada selepas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), Seri Kembangan, hari ini.

Sehingga semalam, 8,582,893 dos vaksin diberikan kepada penduduk di negara ini di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menerusi hantaran di Twitter, JKJAV memaklumkan 2,463,019 individu menerima dos kedua, sekali gus melengkapkan vaksinasi mereka.

Lima negeri yang mencatatkan penerimaan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 333,432 orang diikuti Johor (258,636); Sarawak (257,408); Kuala Lumpur (221,020) dan Perak (219,044).

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata negara merekodkan peningkatan membimbangkan jangkitan varian Delta apabila sebanyak 18 kes dikesan dalam tempoh seminggu dengan empat daripadanya membabitkan kematian.

Jumlah itu adalah antara 25 kes jangkitan varian membimbangkan (VOC) melalui survelan genomik dijalankan dari 23 Jun hingga semalam oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang melaksanakan jujukan genom penuh ke atas 28 sampel Covid-19.

BERITA BERKAIT
POPULAR