
Data sehingga 1 Januari 2023.
Sebanyak 301 daripada 420 jangkitan baharu yang dilaporkan pada hari pertama 2023, semalam (Ahad, 1 Januari), adalah individu yang telah menerima vaksin dos penggalak, menurut data laman sesawang GitHub Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.
Selain itu, sebanyak 61 kes pula melibatkan individu yang telah lengkap divaksinasi, manakala 58 kes lagi adalah individu yang tidak pernah menerima suntikan vaksin Covid-19. Tiada kes melibatkan individu yang tidak lengkap divaksinasi dilaporkan.
Setakat ini, tiada kajian dibuat kenapa lebih ramai individu yang telah menerima suntikan dos penggalak dijangkiti virus SARS-CoV-2, sedang mereka sepatutnya memiliki daya ketahanan lebih tinggi.
Sejak diperkenalkan pada November 2021 lalu, jumlah kes tertinggi harian individu yang menerima dos penggalak yang dijangkiti Covid-19 ialah 18,165 iaitu pada 11 Mac 2022.
Jangkitan baharu semalam, termasuk 22 yang turut melibatkan kanak-kanak adalah lebih rendah berbanding 513 kes yang dicatat dalam tempoh 24 jam pada Sabtu, menurut data KKMNOW yang dikemas kini tengah malam tadi.
Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sejak 25 Januari 2020 sebanyak 5,027,097 dengan 4,978,369 pesakit telah sembuh, termasuk 547 yang pulih semalam.
Sementara itu, KKM juga memaklumkan sehingga semalam 11,871 kes masih aktif, turun lagi berbanding 12,002 yang dilaporkan pada Sabtu, manakala 11,232 pesakit masih menjalani kuarantin di rumah (11,349 pada Sabtu). Tiada pesakit yang ditempatkan di PKRC.
Menurut KKM, seramai 609 pesakit menerima rawatan di hospital, turun berbanding 620 yang direkodkan pada Sabtu.
Seramai 30 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (33 pada Sabtu), dengan sembilan daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan (15 pada Sabtu).
Berikut adalah pecahan kes baharu semalam mengikut negeri dan wilayah, serta kumulatif kes positif:
- Selangor – 139 (1,545,054);
- Kuala Lumpur – 55 (466,396);
- Sabah – 14 (406,596);
- Johor – 13 (397,780);
- Sarawak – 26 (323,578);
- Kedah – 25 (318,054);
- Pulau Pinang – 46 (306,932);
- Kelantan – 13 (259,837);
- Perak – 23 (238,485);
- Negeri Sembilan – 11 (230,557);
- Pahang – 8 (182,372);
- Melaka – 31 (144,246);
- Terengganu – 7 (132,730);
- Putrajaya – 8 (32,138);
- Labuan – 1 (22,917); dan
- Perlis – 0 (18,958).
Sementara itu, empat pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam, termasuk dua kes kematian di luar fasiliti kesihatan atau ‘brought in death’ (BID).
Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian sejak 17 Mac 2020 meningkat kepada 36,856 mangsa, termasuk 7,854 kes BID.
Keempat-empat kematian itu dilaporkan di Johor, Kedah, Sarawak (BID), dan Selangor (BID).