Covid-19 dikesan di dua sekolah asrama di Perak

Penularan Covid-19 melibatkan pelajar sekolah dan kolej matrikulasi terus meningkat apabila dua lagi sekolah berasrama penuh di Perak  diserang wabak itu.

Di PERAK, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar merekodkan enam kes positif dalam kalangan pelajar Tingkatan Lima.

Katanya satu institusi lagi melibatkan sekolah berasrama penuh di Bagan Datuk, juga membabitkan jangkitan dalam kalangan pelajar, namun tidak mendedahkan nama sekolah itu.

“Mereka yang dijangkiti diasingkan seterusnya menjalani kuarantin di asrama berasingan dan tiada penutupan sekolah dilakukan setakat ini,” katanya hari ini memetik laporan Bernama.

Jangkitan kes Covid-19 di MRSM Sultan Azlan Shah diletakkan di bawah kluster Jalan Kuala Kangsar, Gerik, manakala kes di sekolah berasrama penuh di Bagan Datuk diletakkan di bawah kluster Batu 20 Selekoh membabitkan 12 pelajar.

Mengenai kes pertama positif Covid-19 varian Omicron yang dikesan di Perak, Saarani berkata beliau telah memanggil mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan negeri semalam dan mendapati keadaan adalah terkawal.

“Individu yang positif itu telah mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan termasuk menjalani kuarantin selama 10 hari, semua kontak rapat juga disahkan negatif jadi tiada isu,” katanya.

Di NEGERI SEMBILAN, Kluster Intan Delima 2.0 mencatatkan 36 kes positif Covid-19 setakat ini, melibatkan pelajar dan pensyarah Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan di Kuala Pilah.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata semua yang positif dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Tampin dan berada dalam keadaan stabil.

“532 warga kolej telah disaring dan disahkan negatif. Pihak kolej melaksanakan kawalan secara pentadbiran bermula Khamis, bagi mengelakkan penularan wabak yang mana pergerakan keluar masuk tidak dibenarkan, sekiranya ingkar tindakan kompaun akan dikenakan,” katanya kepada Bernama.

Semalam 105 warga kolej yang merupakan kontak rapat telah diarahkan untuk menjalani kuarantin, sementara menunggu keputusan ujian saringan Covid-19.

Sementara itu, Pengarah Keselamatan Majlis Keselamatan Negara Negeri Sembilan Roslin Abd Hamid berkata setakat ini jangkitan Covid-19 di sekolah harian adalah terkawal, dan tiada institusi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

BERITA BERKAIT
POPULAR