Covid-19 di Lembah Klang melonjak, Selangor catat 1,752 kes baharu

Jangkitan Covid-19 di Lembah Klang kembali melonjak dengan merekodkan 2,267 kes daripada keseluruhan 6,517 kes yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pernah menjadi ‘hotspots’ atau ‘zon panas’ penularan Covid-19 di negara ini, khususnya sepanjang Ogos lalu.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan di setiap negeri hari ini, sembilan negeri dan Wilayah Persekutuan mencatat peningkatan kes baharu.

Selangor merekodkan jangkitan tertinggi hari ini dengan 1,752 kes baharu berbanding 1,268 kes dalam tempoh sama semalam.

Sejak awal tahun lalu hingga tengah hari tadi, negeri itu mencatatkan 727,413 kes positif, dengan 702,534 pesakit disahkan sembuh.

Sehingga kini Selangor merekodkan 14,945 kes aktif, dengan 12,402 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,453 ditempatkan di PKRC; 1,001 dirawat di hospital; dan 89 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), termasuk 51 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 9,667 kematian turut dilaporkan di negeri itu, termasuk 2,059 pesakit yang meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital atau dikategorikan sebagai ‘brought in death’ (BID).

Sementara itu, Kuala Lumpur turut mencatat peningkatan jangkitan baharu apabila sebanyak 441 kes dikesan hari ini berbanding 339 semalam, manakala Putrajaya pula merekodkan 74 kes, turun berbanding 84 kes semalam.

Dalam tempoh sama, Sabah merekodkan peningkatan kepada 611 kes berbanding 579 semalam; diikuti Pahang (431 kes baharu, 403 semalam); dan Sarawak (418 kes baharu, 409 semalam).

Kedah pula merekodkan 352 kes baharu berbanding 351 semalam; diikuti Negeri Sembilan (299 kes baharu, 275 semalam); dan Terengganu (243 kes baharu, 223 semalam).

Melaka yang kini dalam demam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan pada 20 November depan, hari ini turut merekodkan peningkatan sebanyak 141 kes apabila mencatatkan 299 kes baharu, berbanding 158 kes semalam.

BERITA BERKAIT
POPULAR