Covid-19: Bank Rakyat lanjut tempoh moratorium selepas 30 Jun

Bank Rakyat melanjutkan tempoh Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar yang akan berakhir pada 30 Jun ini kepada pelanggan yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pada masa sama Bank Rakyat juga memohon maaf berhubung isu kelewatan pemulangan bayaran pembiayaan pelanggan yang menerima Bantuan Bayaran Pembiayaan.

Menurut Bank Rakyat, kelewatan itu berlaku berikutan arahan pemberhentian sementara potongan gaji yang hanya dapat dilakukan seawal bulan kedua tempoh bantuan.

Selain itu, bayaran potongan gaji yang telah dibuat hanya akan diterima oleh pihak bank, seawal-awalnya pada penghujung setiap bulan.

Mengenai pelanjutan tempoh bantuan bayaran itu, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata pihaknya amat prihatin terhadap situasi terkini yang masih tidak stabil.

“Selaras dengan pengumuman berhubung Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar oleh Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) pada 12 Mei 2021, Bank Rakyat komited untuk membantu pelanggan merancang komitmen pembiayaan mereka menerusi program bantuan pengurusan kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara kriteria pelanggan yang boleh memohon bantuan ini adalah pelanggan yang telah diberhentikan kerja dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, pelanggan yang masih dalam tempoh bercuti tanpa gaji, pelanggan yang mengalami pengurangan gaji atau pendapatan serta pelanggan yang pasangannya turut terjejas.

Permohonan lanjutan Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar ini boleh dibuat mulai 1 Julai 2021 dan pelanggan perlu menghubungi bank menerusi e-mel di [email protected] dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor telefon bimbit untuk dihubungi.

BERITA BERKAIT
POPULAR