Covid-19: Baki simpanan 6.1 juta ahli KWSP di bawah RM10,000

Seramai 6.1 juta pencarum kini mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dengan 3.6 juta daripadanya mempunyai kurang RM1,000.

Baki simpanan yang dimiliki pencarum terbabit berkurangan susulan pengeluaran dibuat ketika negara menghadapi pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu, menerusi i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra.

Jumlah pengeluaran bagi ketiga-tiga kemudahan itu membabitkan RM101 bilion yang diserahkan kepada 7.4 juta ahli atau lebih separuh daripada jumlah keseluruhan ahli, kata Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, KWSP kini memberi fokus dalam membantu ahli membina semula simpanan mereka demi masa depan persaraan mereka.

“Kemudahan pengeluaran tersebut bersifat luar biasa dan diperkenalkan berikutan pandemik yang telah memberikan impak besar terhadap ekonomi negara.

“Pengeluaran yang dimaksudkan, iaitu i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra, telah mengakibatkan sejumlah RM101 bilion telah dikeluarkan dan disalurkan kepada lebih 7.4 juta ahli, atau lebih daripada separuh jumlah keseluruhan ahli KWSP.

“Walaupun pengeluaran tersebut telah memberikan sedikit kelegaan kewangan kepada ahli semasa pandemik dan pelbagai peringkat PKP, jumlah simpanan yang telah dikeluarkan kini telah menyebabkan seramai 6.1 juta ahli mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 3.6 juta mempunyai kurang daripada RM1,000, seterusnya menjadikan mereka lebih rentan dan tanpa perlindungan persaraan,” kata KWSP.

Menurut KWSP, kemerosotan dalam jumlah simpanan ini ternyata lebih merisaukan dalam kalangan pencarum Bumiputera, memandangkan seramai 78 peratus, atau lebih tiga perempat telah memohon untuk fasiliti pengeluaran tersebut.

“Akibatnya, seramai 4.4 juta, atau 54%, ahli Bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000, dan 2.0 juta, atau 25%, mempunyai kurang daripada RM1,000.

“Tambahan lagi, pengagihan simpanan telah menjadi semakin tidak saksama. Kumpulan 40% terbawah ahli KWSP (lebih kurang 5.0 juta ahli) menyaksikan simpanan mereka jatuh sebanyak 38% kepada hanya RM8 bilion, menjadikan baki simpanan median sebanyak RM1,005. Kumpulan 40% pertengahan juga mengalami kejatuhan sebanyak 18% kepada RM155 bilion, atau baki median sebanyak RM24,995.

“Hanya kumpulan 20% teratas yang berumur di bawah 55 tahun menyaksikan kenaikan dalam simpanan, namun ini mencapai median berjumlah RM152,043, atau bersamaan dengan hanya RM633 sebulan untuk 20 tahun,” kata KWSP.

BERITA BERKAIT
POPULAR