Covid-19: 67.6 peratus kematian melibatkan individu tak divaksin

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 67.6 peratus daripada 29,676 pesakit Covid-19 yang meninggal dunia sejak awal tahun lalu hingga semalam, adalah individu yang tidak divaksin.

Hanya 11.8 peratus sahaja individu yang lengkap divaksinasi meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 dan mempunyai penyakit lain, manakala 20.6 peratus lagi kematian melibatkan individu yang menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagaimanapun, tiada rekod dalam laman sesawang COVIDNOW kendalian KKM yang menunjukkan ada penerima dos penggalak yang meninggal dunia sejak program suntikan dos ketiga itu dimulakan 13 Oktober lalu.

Sementara itu, lebih 5.24 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah menerima suntikan vaksin Covid-19 sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dilancarkan pada 20 September lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 2,512,231 atau 79.8 peratus remaja telah lengkap divaksinasi, sementara 2,735,720 atau 86.9 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sebanyak 13.1 peratus populasi remaja di seluruh negara belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pecahan pemberian vaksin Covid-19 mengikut negeri sehingga 14 November 2021.

KKM juga memaklumkan sehingga semalam, hampir 46 juta dos vaksin Covid-19 diberikan kepada individu dewasa, dengan 22,297,446 atau 95.2 peratus telah lengkap divaksinasi, dan 22,865,060 atau 97.6 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos daripada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal.

Seramai 970,364 individu yang layak telah menerima suntikan dos penggalak.

Keseluruhannya lebih 51.19 juta dos vaksin telah diberikan sejak 24 Februari lalu hingga semalam kepada populasi Malaysia dengan 24,809,677 atau 76.0 peratus telah lengkap divaksinasi; dan 25,600,780 atau 78.4 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

BERITA BERKAIT
POPULAR