Covid-19: 44 kematian semalam, 69,153 kes masih aktif

Seramai 44 pesakit Covid-19 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam, turun 19 kes berbanding 63 kematian yang dilaporkan pada Jumaat.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan daripada jumlah itu empat pesakit Covid-19 meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital atau ‘brought in death’ (BID).

Jumlah kumulatif kematian sejak wabak Covid-19 melanda negara awal tahun lalu kini mencecah 28,876 kes, termasuk 5,839 kes BID, lapor KKM menerusi laman sesawang COVIDNOW hari ini.

Dalam tempoh itu Sarawak merekodkan kes tertinggi dengan 10 kematian, diikuti masing-masing lima di Johor dan Sabah; dan Kedah serta Kelantan masing-masing mencatat empat kes.

Tiga kematian masing-masing dilaporkan di Selangor dan Kuala Lumpur, diikuti masing-masing dua di Melaka, Perlis dan Terengganu. Manakala, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Pulau Pinang pula masing-masing mencatat satu kes kematian.

Tiada kematian dilaporkan di Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, KKM memaklumkan kes aktif terus turun kepada 69,153 berbanding 70,058 kes yang direkodkan pada Jumaat.

Daripada jumlah itu, 53,990 pesakit sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah, 9,162 ditempatkan di PKRC, 5,431 menerima rawatan di hospital, dan 570 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi, dengan 293 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Semalam sebanyak 5,854 jangkitan baharu dilaporkan di seluruh negara dengan Selangor merekodkan kes tertinggi sebanyak 1,401 kes, sekali gus menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu kepada 2,461,351 kes positif, dengan 2,368,634 pesakit telah sembuh.

BERITA BERKAIT
POPULAR