Covid-19: 35 meninggal semalam, sifar kematian di Lembah Klang

Tiada kes kematian direkodkan di Lembah Klang – Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya – akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, berbanding lapan kes pada Sabtu, lapor Kementerian Kesihatan (KKM).

Sehingga kelmarin, Lembah Klang mencatat 12,222 kematian, termasuk 2,721 pesakit yang meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital atau dikategorikan sebagai ‘brought in death’ (BID).

Sejak wabak Covid-19 melanda negara awal tahun lalu hingga semalam, Lembah Klang merekodkan 921,016 kes positif, dengan 894,346 pesakit telah sembuh.

Sebanyak 18,141 kes aktif dilaporkan di Lembah Klang dengan 15,961 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,332 ditempatkan di PKRC; 733 di hospital; dan 115 dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Menerusi laman sesawang COVIDNOW, KKM juga memaklumkan dalam tempoh 24 jam semalam seramai 35 pesakit meninggal dunia, termasuk lima kes BID, turun berbanding 54 kes pada Sabtu, menjadikan kumulatif sebanyak 29,291 kes kematian.

Daripada jumlah itu, Johor dan Sarawak masing-masing mencatat enam kes kematian; diikuti masing-masing lima di Perak dan Terengganu; dan masing-masing empat di Kelantan serta Pahang.

Pulau Pinang dan Sabah pula masing-masing merekodkan dua kes kematian, manakala satu kes dilaporkan di Negeri Sembilan.

Tiada kematian direkodkan di Kedah, Melaka, Perlis, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, KKM juga memaklumkan sehingga semalam, 64,623 kes masih aktif, turun berbanding 65,505 kes yang dicatatkan pada Sabtu.

Daripada jumlah itu, 50,933 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 8,130 dirawat di PKRC; 5,006 ditempatkan di hospital; dan 554 pesakit dimasukkan ke ICU dengan 272 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, negara merekodkan 2,500,867 kes positif dengan 2,412,395 daripadanya telah sembuh.

Sementara itu, KKM tidak lagi mengemas kini status Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan sejak 24 Februari lalu, dalam laman sesawang kendaliannya, COVIDNOW.

Kali terakhir kemas kini dibuat ialah pada 4 November lalu, di mana 50,462,307 dos telah diberikan, membabitkan 95.8 peratus atau 22,417,059 individu dewasa dan 70.2 peratus atau 2,208,399 remaja berusia 12 hingg 17 tahun, telah lengkap divaksinasi.

Sebanyak 97.8 peratus atau 22,893,173 individu dewasa dan 83.4 peratus atau 2,623,303 remaja lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, manakala 492,054 warga emas dan petugas barisan hadapan telah menerima dos penggalak.

Sepintas lalu berkaitan Covid-19 mengikut negeri sehingga 7 November 2021.

BERITA BERKAIT
POPULAR