Covid-19: 20,845 pesakit sembuh, 285 meninggal dunia

Jumlah pesakit Covid-19 yang disahkan sembuh dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi meningkat kepada 20,845 kes, tetapi jumlah pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) kembali melepasi angka 1,000.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka pesakit yang sembuh itu menjadikan kumulatif kes kepada lebih 1.42 juta berbanding lebih 1.7 juta kes positif.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga 285 pesakit, termasuk 45 bukan warganegara Malaysia meninggal dunia menjadikan kumulatif kepada 16,087 kes.

“Sebanyak 51 kes kematian sebelum dibawa ke hospital (BID) yang turut melibatkan 21 rakyat asing dilaporkan dalam tempoh itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya seramai 1,009 pesakit dirawat di ICU dengan 477 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Pada masa sama sebanyak 267,997 kes masih aktif,” katanya.

Katanya sebanyak 26 kluster baharu dilaporkan dengan 20 daripadanya adalah daripada kluster tempat kerja yang membabitkan 770 kes positif Covid-19, diikuti lima kluster komuniti (165 kes), dan satu kluster pendidikan (17 kes).

Data 29 Ogos 2021

Dr Noor Hisham berkata daripada keseluruhan 4,673 kluster yang dikesan sejak awal tahun lalu, 3,203 kluster telah ditamatkan manakala 1,270 lagi masih aktif.

Terdahulu beliau memaklumkan 20,579 kes baharu dilaporkan yang turut membabitkan 3,469 pesakit bukan warganegara Malaysia.

“Daripada 20,579 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 455 kes atau 2.2 peratus adalah daripada kategori 3, 4 dan 5, manakala sebanyak 20,124 kes (97.8 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhan, 15,651 kes atau 76.1 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Mengenai kadar kebolehjangkitan Dr Noor Hisham berkata berdasarkan data terkini pada 28 Ogos 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.01.

Katanya, negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Sarawak iaitu sebanyak RT 1.25, diikuti oleh Perlis (nilai1.21), dan Sabah (nilai RT 1.16).

“Semua negeri mencatatkan nilai RT melebihi 1.0 kecuali Pahang, Melaka, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Negeri Sembilan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR