[KEMAS KINI] Covid-19: 199 kematian hari ini rekod tertinggi pernah dicatatkan

Kes kematian hari ini adalah yang tertinggi.

Jumlah kematian akibat Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, melonjak kepada 199 kes – tertinggi sejak pesakit pertama meninggal dunia akibat virus yang mula menyerang Malaysia pada Mac tahun lalu.

Angka kematian tertinggi pernah dicatatkan ialah pada 18 Julai lalu membabitkan 153 pesakit.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian yang direkodkan sehingga kini ialah 7,440 kes.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga 7,902 pesakit disahkan sembuh sepenuhnya menjadikan kumulatif kes sembuh sebanyak 806,857.

“Seramai 927 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 459 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Terdahulu beliau memaklumkan sejumlah 11,985 kes baharu, termasuk tujuh kes import, dikesan dalam tempoh berkenaan menjadikan jumlah terkumpul positif Covid-19 sejak tahun lalu kepada 951,884 kes.

Dr Noor Hisham berkata daripada 11,985 kes baharu itu 65 kes adalah Kategori 5 iaitu pesakit kritikal dan memerlukan bantuan alat pernafasan; Kategori 4 (meemerlukan oksigen sebanyak 45 kes); Kategori 3 (radang paru-paru 178 kes; Kategori 2 (gejala ringan 5,847 kes); dan Kategori 1 (tiada gejala 5,850 kes kes).

Beliau berkata pengkelasan kategori itu adalah berdasarkan keadaan klinikal mereka ketika baharu didiagnosa Covid-19.

“Ada di antara mereka kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status sama ada bertambah baik, atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhannya, ketika mula didiagnosa 2.4 peratus kes dilaporkan hari ini berada pada kategori 3 hingga 5 dan 97.6 peratus kes pada kategori 1 dan 2.

Oleh kerana kategori ini berisiko rendah manakala pesakit pula mempunyai kediaman sesuai maka mereka dibenar untuk melakukan kuarantin kendiri di rumah.

“Ini dapat membantu mengurangkan kesesakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan hospital-hospital. Oleh itu, kes-kes kategori 3-5 akan dimasukkan ke PKRC, wad-wad hospital dan juga ICU di hospital,” katanya.

Data 21 Julai 2021

POPULAR