Covid-19: 195,273 kes masih aktif, 160 kematian

Sebanyak 160 lagi pesakit Covid-19 disahkan meninggal dunia dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi berbanding 165 kes semalam menjadikan keseluruhannya 9,024 kematian sejak pandemik itu melanda negara awal tahun lalu.

Daripada jumlah kes kematian itu 20 membabitkan bukan warganegara Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu juga 11,326 pesakit disahkan sembuh berbanding 11,718 kes yang dilaporkan semalam, menjadikan keseluruhan kes sembuh meningkat kepada 925,965.

“Setakat ini jumlah kes yang masih aktif adalah sebanyak 195,273 , meningkat berbanding 189,609 kes yang dilaporkan semalam.

“Pada masa sama 1,059 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi dan 531 lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau memaklumkan negara hari ini mencatatkan 17,150 kes baharu dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 1,130,422 kes. Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 2,706 membabitkan bukan warganegara.

Lembah Klang terus merekodkan kes harian tertinggi dengan Selangor mencatatkan 6,326 kes dan Kuala Lumpur 2,086 kes.

Daripada jumlah kes hari ini, beliau berkata, sebanyak 745 kes atau 4.3 peratus adalah daripada kategori 3, 4 dan 5, manakala sebanyak 16,405 kes (95.7 peratus) lagi kategori 1 dan 2.

“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes, sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan 23 lagi kluster dengan 11 daripada membabitkan jangkitan di tempat kerja direkodkan, kluster komuniti (lapan), kumpulan berisiko tinggi (dua) dan masing-masing satu kluster institusi pendidikan dan pusat tahanan.

“Sehingga kini, 2,586 kluster telah ditamatkan manakala 1,116 kluster lagi masih aktif,” katanya.

Mengenai kadar kebolehjangkitan beliau berkata berdasarkan data terkini pada 31 Julai 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.10.

“Negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Perlis (nilai RT 1.47) dan Terengganu (nilai RT 1.42) diikuti oleh Kelantan (nilai RT 1.27). Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR