Cepat buat sidang Dewan Rakyat, gesa Shafie Apdal

Masalah ekonomi, kematian dan kesempitan hidup rakyat susulan pandemik Covid-19 bukan sahaja dialami di Malaysia, malah seluruh dunia turut terkesan, kata Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal.

Sehubungan itu katanya, adalah wajar kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan segera sidang Dewan Rakyat bagi membolehkan pelbagai perkara dibincangkan dan diselesaikan.

“Dalam keadaan dunia dan negara yang berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan bukan hanya masalah ekonomi yang tidak menentu, bahkan kehilangan nyawa yang begitu banyak akibat pandemik Covid-19, ini amat membimbangkan.

“Maka dengan itu, kerajaan yang ada pada hari ini iaitu Perikatan Nasional diingatkan supaya jangan bersikap angkuh seperti tahu semua perkara, perlu ambil iktibar walaupun sebenarnya masih lagi tidak pasti dengan banyak perkara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Presiden Warisan itu mengingatkan kerajaan PN mengenai titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja supaya sidang Dewan Rakyat diadakan segera.

Shafie berkata apa yang berlaku hari ini menggambarkan keadaan sebenar di mana ramai rakyat hilang punca pendapatan, syarikat-syarikat tidak dapat meneruskan operasi dan terpaksa membuang pekerja, manakala peniaga kecil pula banyak yang gulung tikar.

“Banyak keluarga terputus bekalan makanan, anak-anak kecil tiada susu, ramai yang tidak dapat mengadakan bekalan asas makanan untuk seisi keluarga, kesempitan hidup semakin parah dan lain-lain situasi yang tidak menyebelahi kebanyakkan rakyat.

“Saya bimbang sekiranya situasi dan keadaan ini tidak kita atasi segera, akan menyebabkan lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan,” katanya.

Katanya jika sidang Dewan Rakyat diadakan pasti banyak perkara dapat dibincangkan, diselesaikan dan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat, terutama perkara-perkara berkaitan Ordinan-Ordinan Darurat Covid-19.

BERITA BERKAIT
POPULAR