Cegah diabetes dengan gaya hidup sihat

Seorang daripada lima individu dewasa atau kira-kira 3.9 juta orang berumur 18 tahun ke atas di Malaysia menghidap diabetes, menurut dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019. prevalen diabetes di negara ini didapati meningkat kepada 18.3 peratus berbanding 13.4 peratus pada 2015.

Sejumlah 49 peratus daripada penghidap diabetes di Malaysia, tidak pernah diperiksa atau didiagnosis menghidap penyakit ini dan menurut dapatan tinjauan itu lagi, tiga negeri merekodkan penyakit diabetes tertinggi, iaitu Negeri Sembilan, Perlis dan Pahang.

Menurut Pakar Pemakanan Pantai Hospital Laguna Merbok,  Norhamizah Sohaimi, diabetes merupakan satu daripada masalah kesihatan yang kenali sebagai pembunuh senyap atau ‘silent killer’. Penyelesaian untuk masalah diabetes adalah dengan cara menguruskan masalah penyakit ini dengan serius.

“Bukan mudah untuk menguruskan masalah diabetes, kerana seseorang pesakit harus mengubah gaya kehidupan secara total untuk membantu mengurangkan kadar gula dalam badan. Mengikut kajian dari

“Institut Diabetes Kebangsaan (NADI) menunjukkan hampir separuh daripada rakyat Malaysia tidak sedar mereka menghidap diabetes,” ujarnya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat bagi mencegah penyakit ini. Ini termasuk mengambil makanan pada masa yang tetap.

“Penghidap diabetes digalakkan untuk mengambil makanan secara sedikit dan kerap mengikut keperluan.

‘Kemudian, orang ramai perlu mengawal makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks.

Pengambilan karbohidrat kompleks perlulah dikawal kerana pengambilan yang berlebihan boleh meningkatkan aras gula dalam darah,” katanya.

Tidak ketinggalan, orang ramai perlu mengawasi pengambilan karbohidrat ringkas seperti makanan dan minuman yang manis. Ini kerana pengambilan karbohidrat ringkas yang tinggi boleh menyebabkan kenaikan gula darah secara mendadak dan menyumbangkan kepada pertambahan kalori dan menyebabkan kenaikan berat badan

Seterusnya, beliau menasihatkan orang ramai untuk mengambil makanan yang mengandungi serat yang tinggi. Makanan tinggi serat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, legum (kacang soya, kacang pea) dan bijirin gandum penuh dapat mengawal aras gula dalam darah

“Orang ramai juga perlu mengurangkan makanan yang mengandungi lemak yang tinggi. Ini kerana makanan yang tinggi lemak boleh menyebabkan insulin resistant.

Mangulas tentang pemanis tiruan yang dikatakan menggantikan pengambilan gula,  Norhamizah tidak menafikan peranan pemanis tiruan yang membuatkan makanan berasa manis, rendah kalori dan tidak meningkatkan paras gula dalam darah dengan cepat.

“Pemanis tiruan seperti stevia adalah dibenarkan untuk menggantikan gula dalam makanan atau minuman. Walau bagaimanapun, penggunaan pemanis tiruan perlu diambil dengan selamat iaitu sebanyak satu biji dalam satu cawan dan dibenarkan hanya untuk dua kali sehari untuk elak kesan sampingan lain,”

Pun begitu, pesakit diabetes perlulah berhati-hati dengan istilah “bebas gula”. Haruslah diingat bahawa makanan yang bebas gula juga masih mengandungi karbohidrat dan juga kalori.

“Orang ramai perlu membaca label dan memperhatikan jumlah karbohidrat dalam makanan. Setiap makanan yang dimakan perlulah diambil dalam kuantiti yang sederhana,” ujarnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR