Cegah Covid-19 tanggungjawab bersama, kawal kendiri patuh SOP

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada bulan September 2020 menjadi punca tercetusnya gelombang ketiga penularan Covid-19 sehingga angka jangkitan melebihi 20,000 kes pada tahun ini.

Ketika jangkitan semakin menurun, Malaysia bakal berdepan satu lagi PRN iaitu kali ini di Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 20 November depan.

Bagi mengelakkan tercetusnya gelombang baharu, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021, menurut ketetapan baharu Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, larangan tersebut ditetapkan meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.

Dalam pada itu,  jalan terbaik adalah untuk rakyat bertindak bijak mendisiplinkan diri melalui sekatan pergerakan ‘lockdown’ kendiri serta mematuhi arahan SOP.

Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh, Dr Rosnida Mohd Noh berkata tindakan itu adalah antara langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kebarangkalian dijangkiti Covid-19.

“Setiap individu mempunyai peranan untuk memastikan penurunan kes Covid-19, termasuk patuh kepada SOP seperti memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan, mengamalkan penjarakan sosial dan fizikal di samping mengelakkan dari berkumpul terutama di tempat awam.

“Elakkan pergerakan yang tidak perlu. Menghalang jangkitan adalah tanggungjawab kita bersama,“ tegasnya.

Bagaimanapun, menurut beliau, kadar sekatan pergerakan kendiri bergantung kepada situasi seseorang individu.

“Saya sedar ramai dalam kalangan masyarakat mengalami kekangan kewangan disebabkan oleh Covid-19, dan ada yang sehingga kekurangan keperluan asas kehidupan seperti makanan harian. Ini adalah penghalang kepada sekatan pergerakan sepenuhnya.

“Setiap individu perlu menilai kemampuan sendiri dan kurangkan pergerakan yang tidak perlu, contohnya keluar membeli-belah barangan bukan keperluan,“ katanya.

Dr Rosnida berkata, melihatkan pada kadar kematian dan kesan jangka masa panjang yang disebabkan oleh Covid-19, tidak ada sesiapapun yang mahu dijangkiti Covid-19.

“Hospital pula sudah mula melimpah dengan pesakit dan ada yang sudah mencapai kapasiti maksimum.

“Apabila hospital mencapai kapasiti maksimum, ramai pesakit Covid-19 tidak dapat diberi rawatan sepenuhnya kerana kekurangan petugas kesihatan serta peralatan untuk menyelamatkan nyawa, ” tambahnya.

Menurut beliau lagi, sebagai seorang doktor yang melihat sendiri kesan Covid-19 pada rakyat Malaysia secara “realtime”, sudah sampai masa untuk setiap individu melakukan apa sahaja yang mampu dilakukan untuk mengelakkan jangkitan dan penyebaran Covid-19 termasuk mengurangkan pergerakan yang tidak perlu.

BERITA BERKAIT
POPULAR