CDC syor wanita hamil ambil vaksin Pfizer, Moderna atau J&J

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 70 kes kematian wanita hamil disebabkan jangkitan Covid-19 dilaporkan sehingga 9 Ogos lalu berbanding sifar kes yang direkodkan pada 2020 akibat komplikasi wabak itu.

Sehubungan itu, KKM menggesa wanita hamil mendapatkan suntikan vaksin dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata berdasarkan berdasarkan anggaran ibu hamil setahun, peratus ibu hamil yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin di aplikasi MySejahtera masih rendah iaitu sebanyak 40 peratus.

Katanya pengambilan vaksin perlu dilengkapkan sebelum memasuki fasa akhir kehamilan iaitu trimester ketiga dan mereka yang masih belum menerima janji temu untuk vaksinasi boleh menghubungi klinik kesihatan terdekat bagi mempercepatkan proses janji temu.

Menurutnya purata kes Covid-19 bagi wanita hamil mulai Januari sehingga Mei tahun ini adalah sebanyak dua kes pada setiap bulan, namun berlaku peningkatan kes kematian mendadak sejak Jun iaitu 17 kematian.

“Data menunjukkan dua kes daripada jumlah tersebut telah menerima dos pertama vaksin manakala 15 kes yang lain tidak menerima vaksinasi selain 47 peratus daripada kes kematian yang dilaporkan mempunyai komorbiditi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata sebanyak 3,396 kes Covid-19 dilaporkan dalam kalangan ibu hamil di Malaysia sejak Mac 2020 sehingga Jun 2021.

Katanya jumlah kes yang dilaporkan semakin meningkat mulai Oktober 2020 dengan purata 200 kes jangkitan sebulan iaitu lonjakan kes adalah pada Mei 2021 (850 kes) dan Jun 2021 (899 kes).

Sementara itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) berkata analisis baharu menunjukkan pengambilan vaksin Covid-19 tidak meningkatkan risiko keguguran.

CDC mengatakan bahawa ia tidak menemui masalah keselamatan bagi wanita hamil dalam analisis baharu atau kajian yang dilakukan sebelumnya.

Menurut CDC wanita hamil boleh menerima salah satu daripada tiga vaksin yang diberi kebenaran kecemasan – Pfizer (PFE.N), Moderna (MRNA.O) atau Johnson & Johnson (JNJ.N).

BERITA BERKAIT
POPULAR