Caj RM1 transaksi tunai MEPS dikenakan semula mulai 1 Februari

Beberapa bank dilaporkan akan mengenakan semula caj transaksi sebanyak RM1 bagi pengeluaran wang di mesin pegeluaran wang automatik (ATM) mengikut Sistem Pembayaran Elektronik Malaysia (MEPS) berkuat kuasa 1 Februari tahun depan.

Dalam makluman di media sosial, Maybank telah menyatakan bahawa mulai 1 Februari, caj transaksi pengeluaran tunai antara bank di ATM akan dilaksanakan semula.

“Pelanggan Maybank masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di ATM Maybank,” menurut bank itu.

Siasatan media tempatan mendapati beberapa bank, termasuk Bank Islam Malaysia Bhd, CIMB Bank, RHB Bank, Citibank dan HSBC telah memuat naik notis berkenaan di platform media sosial masing-masing.

“Para pelanggan yang dihormati, Berkuatkuasa pada 1 Februari 2022, caj transaksi RM1.00 akan dikenakan keatas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi yang dilakukan di mesin ATM/mesin layan diri bukan CIMB Bank/ CIMB Islamic (1/2),” kata CIMB menerusi akaun Twitternya.

“Bagi pemegang kad Bank Islam, tiada caj dikenakan untuk pengeluaran menggunakan ATM Bank Islam,” kata bank itu.

Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan pengecualian caj MEPS pada 6 April 2020.

Langkah itu bagi membolehkan orang ramai mengeluarkan wang tunai daripada ATM yang berkongsi sistem MEPS ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa perlu dikenakan caj RM1.

Caj RM1 dikenakan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) kepada pelanggan. Bank Negara Malaysia (BNM) adalah pemegang saham terbesar dalam PayNet, manakala baki sahamnya dikuasai konsortium 11 bank.

Bagaimanapun sehingga kini tiada pengumuman rasmi dibuat oleh Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd, BNM atau persatuan bank-bank berhubung pelaksanaan semula caj RM1 bagi perkhidmatan MEPS.

BERITA BERKAIT
POPULAR