
Cadangan Perdana Menteri untuk menjadikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran pinjaman mengundang ketidak puasan para pencarum.
Dalam keadaam ekonomi tidak menentu sudah tentu rakyat tidak perlu menambah pinjaman sebaliknya mereka mahu menggunakan duit caruman mereka sendiri tanpa nenambah hutang baharu.
Ini kerana sedar atau tidak, bagi mereka yang benar-benar ‘berwang’, mungkin tidak ada masalah untuk menambah pinjaman, namun akan menjadi masalah kepada mereka yang sekadar cukup-cukup makan.
Sementara itu, Kesatuan Pekerja Bank Sarawak (SBEU) menyifatkan pencarum berdepan risiko dibeban kadar faedah tinggi, selain kesanggupan bank mengeluarkan pinjaman, jika cagaran caruman KWSP dilaksanakan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Andrew Lo, berkata cadangan dikemukakan kerajaan bagi membenarkan cagaran KWSP untuk mendapatkan pinjaman bank dibuat tanpa penelitian sewajarnya.
Katanya, skim caruman KWSP dilindungi Akta KWSP antara lain melindungi dana itu daripada kebankrapan, jika pencarum tidak mampu membayar hutang.
“Adakah bank bersedia memberi pinjam kepada mereka yang mahu menjadikan caruman mereka sebagai cagaran?
“Memandangkan skim (cagaran) itu dikatakan bagi golongan terdesak bagi mendapatkan pinjaman, bukankah meletakkan mereka pada kedudukan paling berisiko tidak dapat melunaskan hutang?” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, berkata kerajaan akan memperkenalkan kaedah membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman mereka sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan.
Kaedah itu boleh ditawarkan kepada pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.
Mengulas lanjut Lo berkata, pencarum juga dijangka dikenakan kadar faedah tinggi, melebihi kadar dividen KWSP sendiri.
“Jadi, pencarum berdepan pula kedudukan buruk kewangan mereka,” katanya.
“Selain itu, kadar hutang isi rumah sudah mencapai tahap membimbangkan”.
Beliau berkata, sebahagian besar pendapatan sudah diperuntukkan bagi melunaskan komitmen bulanan melibatkan rumah, kenderaan dan pinjaman lain.
Dalam pada itu, KWSP dalam kenyataan berkata, pihaknya sedang menilai dan memperincikan pelaksanaan kemudahan penggunaan baki caruman dalam Akaun 2 ahlinya untuk dijadikan cagaran membuat pinjaman peribadi bagi mereka yang memerlukan bantuan tunai.