Cabaran menjaga anak autisme semasa PKP

Iman Wan yang juga merupakan seorang bekas komposer sering memuat naik video dirinya mempunyai lebam-lebam di badan dek kerana ‘tantrum’ Adam.

Beliau juga pernah menunjukkan bagaimana dapur rumahnya comot gara-gara Adam tiba-tiba naik angin dan mencampakkan mangkuk kari ketika mereka sekeluarga sedang makan.

Dalam pada itu, Iman Wan turut menegaskan bahawa perkongsiannya itu bukanlah untuk meraih simpati sebaliknya ingin memberi kesedaran kepada masyarakat.

Lebih-lebih lagi, sepanjang Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19,  Adam Wan, 19 yang  menghidap ASD dan gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (Attention Deficit Hyperactivity Disorder) tidak boleh melakukan rutin harian dan terpaksa duduk di dalam rumah adalah sesuatu di luar kebiasaannya.

Menurut bapanya, bapanya, Iman Wan Tuck Meng, 54, Adam  akan lebih tantrum semasa PKP memandangkan dia dan siteri tidak boleh membawanya keluar.

“Walaupun kita sudah memasuki fasa keempat Pelan Pemulihan Negara, saya dan isteri tetap dengan keputusan tidak membawa dia keluar berjalan-jalan atau beriadah khususnya yang melibatkan tempat orang ramai.

“Kami risau keselamatannya kerana kita tidak boleh mengawal sekiranya dia berlari, terpegang dan mendekati orang lain. Jika keadaan menjadi lebih teruk, saya hanya membawanya berjalan-jalan dalam kereta sekitar perumahan rumah,” katanya.

Tambah Iman wan, tantrum adalah satu bentuk luahan perasaan kanak-kanak apabila berasa sangat tertekan semasa berdepan dengan keadaan tertentu. Ia adalah satu ledakan emosi yang boleh diterjemahkan dalam pelbagai cara termasuk menjerit, berguling-guling, menendang-nendang, menghempas-hempas diri dan menahan nafas (dengan nafas berdengus).

“Ia berlaku kerana keinginan yang tidak dipenuhi. Sebagai ibu bapa yang mempunyai anak autisme, kesabaran sangat diperlukan sepanjang PKP ini,” ujarnya.

Ujar Iman wan, dalam sebuah keluarga yang mempunyai anak autisme, peranan seisi keluarga amat penting bagi memastikan kehidupan dapat diteruskan walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

Iman dan isterinya, ini mempunyai dua lagi anak, Arena Wan, 21, dan Aramysara Wan, 9, dan mereka akan menghabiskan 75 peratus masa mereka dalam sehari bagi memberi tumpuan terhadap Adam.

“Ia bukanlah perkara yang mudah untuk kami seisi keluarga pada mulanya. Sebelum kami

mengajar Arena dan Ara untuk menerima kekurangan Adam, kami terlebih dahulu harus bersedia menerima kekurangan Adam.

“Kemudian, kami mengajar anak-anak untuk menerima kekurangan Adam. Kami sering mengingatkan mereka untuk menyayangi Adam dan sudah menjadi tanggungjawab bersama untuk menjaga Adam. Kami tanamkan dalam diri mereka tentang bagaimana mereka sepatutnya merasa bangga mempunyai adik-beradik yang istimewa. Saya pentingnya rasa kasih, sayang dan erti kekeluargaan sesama mereka sebagai adik-beradik. Kami juga banyak belajar dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Iman Wan berkata apabila mempunyai anak autisme, ia akan memberi kesan kepada kehidupan seluruh ahli keluarga.

Katanya, setiap kanak-kanak autistik mempunyai corak dan gaya kehidupan yang berbeza dan ibu bapa perlu bersedia untuk berubah.

“Autisme bukan sahaja sekadar melalui zaman kanak-kanak tetapi ibu bapa sering lupa bahawa kanak-kanak ini juga bakal melalui alam remaja dan dewasa. Apabila mereka meningkat remaja dan dewasa, semakin besar cabarannya dari segi emosi dan fizikal kerana mereka juga bakal melalui zaman baligh dan sebagainya.

“Sabar adalah kata kunci yang perlu ada dalam diri ibubapa dan sentiasa ingat bahawa anak merupakan anugerah dari-Nya. Betulkan minda dan pemikiran, kita boleh mencipta kehidupan terbaik dengan kehadiran anak istimewa ini,” katanya yang turut menguruskan perniagaan minyak aura terapi (essential), doTerra.

Tambah Iman Wan, anak autimse bukan satu bebanan buat kita tetapi ia merupakan satu anugerah serta ujian yang perlu kita hadapi sebagai ibu bapa.

POPULAR