Cabaran dan peranan wanita berkerjaya semasa era pandemik

Perubahan mendadak berlaku dalam kehidupan seharian kita ketika pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)2 mula dilaksanakan.

Ia memberikan kesan yang berbeza terhadap golongan wanita dan lelaki. Dengan secara tiba- tiba, seluruh ahli keluarga berada bersama sepenuh masa dalam ruangan yang kecil (atau besar), di bawah tekanan ekonomi yang semakin mendesak serta perubahan pendidikan anak-anak yang beralih kepada platform alam maya.

Bagi memastikan golongan wanita yang bekerja terus produktif, majikan di negara ini juga digalakkan  untuk  melaksanakan  kaedah  bekerja  dari  rumah,  memberi  kebenaran  waktu kerja anjal dan sistem penggiliran jadual kerja antara suami dan isteri yang mempunyai anak kecil.

Meskipun   mencabar,   langkah   ini   membantu   ramai   wanita   khususnya   yang berkeluarga  untuk  terus  menyumbang  kepada  pembangunan  ekonomi  negara  dengan memanfaatkan   sepenuhnya   kepesatan   teknologi   komunikasi   di   samping   melindungi kesihatan mereka daripada terdedah kepada jangkitan Covid-19.

Memetik kata Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), “Respon yang perlu dilaksanakan ketika Pandemik COVID-19 mestilah sensitif dan responsif terhadap gender.

“Bukan hanya wanita dan kanak-kanak yang merupakan golongan terkesan yang perlu diberi perhatian lebih dalam hal kesihatan, tetapi 70 peratus barisan petugas kesihatan yang menjaga mereka yang terjejas turut terdiri daripada golongan wanita.

“Oleh demikian, WHO komited untuk mengguna pakai lensa gender untuk menilai secara berterusan dan menambah baik usaha yang dilaksanakan oleh kami.”

Sempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-59  baru-baru ini, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah  turut menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas kerja keras yang ditunjukkan pekerja wanita di negara ini terutamanya petugas barisan hadapan dalam menangani pandemik Covid-19.

Tunku Azizah bertitah, petugas barisan hadapan seperti jururawat, doktor dan polis merupakan benteng negara dalam memutuskan rantaian wabak Covid-19 dengan menabur khidmat secara penuh ikhlas, amanah, berkesungguhan dan bersemangat juang.

“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita buat semua rakyat dan wanita seluruh negara Malaysia.

“Semoga Hari Wanita tahun ini memberi keinsafan buat kita semua untuk terus berusaha menangani segala cabaran terutama musibah wabak Covid-19,” titah Tunku Azizah sempena Majlis Sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-59  secara maya.

Majlis sambutan bertemakan ‘Wanita Berjuang Menghapus Covid-19’ itu adalah anjuran bersama Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).

Turut bertitah dalam majlis tersebut ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam titah ucapan itu, Tunku Azizah berharap masalah pendapatan, kesihatan fizikal dan mental, keselamatan serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan wanita diberi perhatian.

“Saya memandang berat tajuk forum yang dianjurkan NCWO sempena Hari Wanita tahun ini setelah kita melalui kesulitan wabak Covid-19, amat tepatlah masanya untuk kita bersama-sama mencari jalan untuk memulihkan negara dengan segera.

“Khususnya bagi meningkatkan kualiti hidup kaum wanita dan keluarga mereka dengan segera, seterusnya masyarakat sekeliling. Carilah jalan terbaik termasuk penggunaan teknologi untuk tingkatkan mutu kehidupan,” titah baginda.

Tunku Azizah turut berharap wanita diberi kemudahan dalam menjalankan tugas untuk memajukan kedudukan kaum wanita di negara ini.

Seri Paduka turut menzahirkan ucapan syabas kepada semua wanita yang telah memberi sumbangan sukarela semasa musibah Covid-19 melanda negara termasuk menyalurkan barang makanan, keperluan harian, khidmat kaunseling dan bantuan kepada warga emas, Orang Kurang Upaya serta kanak-kanak.

“Telah sampai ke pengetahuan saya bahawa sejak Perintah Kawalan Pergerakan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) wanita telah banyak beri sumbangan dalam membanteras wabak Covid-19.

“NCWO pula telah mengutip derma untuk membekalkan pakai pelindung diri bagi wad Covid-19 Pediatrik termasuk pakaian, sarung tangan dan kaki serta penutup muka. NCWO juga telah menyumbang alat bantuan pernafasan termasuk monitor, pelitup wajah dan kotak intubasi kepada beberapa hospital kita,” titahnya.

Dalam majlis yang sama,  Penasihat SME, Bank Islam, Datuk Dr. Hafsah Hashim memberitahu, terdapat perubahan cara hidup selepas pandemik. Ini termasuk masa depan pekerjaan akan lebih ramai pekerjaan secara automasi, bekerja dari rumah, peningkatan kereta elektrik dan  kebolehan meramal jenayah sebelum terjadi, penyediaan makanan daripada stem sel, komputer masa depan dan banyak lagi.

“Tidak dinafikan pandemik telah membentuk cara hidup norma baru semua golongan termasuk usahawan wanita. Kajian oleh Pusat Perdagangan Antarabangsa menunjukkan 64 peratus usahawan wanita telah terkesan menjalankan perniagaan semasa pandemik berbanding 52 peratus syarikat lelaki. Lebih 90 peratus usahawan wanita melaporkan pengurangan jualan semasa pandemik dan aliran wang tunai hanya boleh bertahan tiga bulan sahaja,” katanya.

Pun begitu, Dr. Hafsah menasihatkan agar usahawan wanita tidak panik kerana perjalanan pemulihan ekonomi agak panjang tetapi boleh dipendekkan apabila ramai mendapat vaksinisasi.

“Selain itu, banyak negara-negara luar tarik pendekatan globalisasi dan memberi fokus yang lebih kepada pemulihan ekonomi domestik. Justeru, kita boleh fokus bergerak kepada data sebenar dan big data untuk membuat ramalan yang tepat dan ketangkasan membuat keputusan.

“Wanita digalakkan memilih perniagaan atas talian menjadi pentas utama  strategi untuk berdaya tahan. Wanita dalam perniagaan perlu mengambil peluang bekerja dari rumah untuk mengembangkan perniagaan masing-masing serta mengamalkan keseimbangan kehidupan kerja,” jelasnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR