Burung hantu bermata oren ‘hilang’ 125 tahun ditemukan di Malaysia

Burung hantu tropika bermata oren ditemukan di Gunung Kinabalu selepas pertama kali dijumpai lebih 125 tahun lalu. - Gambar Andy Boyce, Pusat Burung Migrasi Smithsonian

Selama hampir 125 tahun tidak pernah dilihat, spesies burung hantu tropika bermata oren akhirnya ditemukan di Gunung Kinabalu, Sabah.

Berdasarkan corak dan habitatnya yang unik, penyelidik percaya bahawa ia sebenarnya merupakan spesies baharu yang memerlukan pemuliharaan.

Walaupun sedikit sahaja yang diketahui mengenai burung itu, hutan matang di pergunungan itu semakin mengurangkan habitatnya akibat penebangan balak, dan perubahan iklim.

Seorang juruteknik, Keegan Tranquillo mengintip burung hantu mencari sarang pada Mei 2016 sebagai sebahagian daripada kajian ekstensif mengenai evolusi burung di hutan Gunung Kinabalu di Sabah.

“Dari sudut yang gelap di mana terdapat banyak tumbuh-tumbuhan, burung hantu ini terbang dan mendarat. Burung itu terbang, tetapi kembali beberapa saat kemudian,” kata Tranquillo

Dengan nama saintifiknya ‘Otus brookii brookii’ tidak pernah ditemukan oleh saintis sejak tahun 1892, dan bunyinya juga tidak diketahui, menjadikannya lebih sukar untuk dicari.

Tetapi kini, untuk pertama kalinya dalam lebih daripada 125 tahun, penyelidik telah mendokumentasikan burung hantu ‘Rajah’ dalam sebuah kajian yang diterbitkan bulan lalu di dalam Wilson Journal of Ornithology.

Tranquillo yang pertama kali menemukana spesies burung hantu itu tidak menunggu lama untuk menghubungi ahli ekologi yang bertugas dengan Pusat Burung Migrasi Smithsonian, Andy Boyce, yang kemudian melakukan penyelidikan serta merakam gambar burung hantu itu di Sabah.

“Sekiranya kita tidak mendokumentasikannya pada waktu itu, burung ini akan hilang lagi… siapa tahu berapa lama lagi.

“Ia terlalu beremosi… ada rasa gementar dan antisipasi ketika saya berusaha ke sana… berharap burung itu masih ada. Saya terlalu gembira hingga seolah tidak percaya, ketika saya pertama kali melihat burung itu,” kata Boyce.

Burung hantu bermata oren itu mula digambarkan oleh pakar ornithologis di Muzium British, Richard Bowdler Sharpe pada 1892.

Dia menamakan burung itu sebagai ‘Rajah’ sempena nama pemerintah Sarawak James Brooke. – Agensi

POPULAR