Buruh paksa: AS mula rampas sarung tangan pakai buang Top Glove

Kastam Amerika Syarikat (AS) mula merampas sarung tangan pakai buang keluaran Top Glove, selepas mendakwa mempunyai bukti syarikat itu menghasilkan barangan berkenaan menggunakan buruh paksa.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS berkata, mereka mempunyai bukti kukuh yang mengesahkan penggunaan buruh paksa.

Top Glove adalah pengeluar sarung tangan untuk sektor perubatan yang terbesar di dunia dan kebanyakan kilangnya terletak di Klang, Selangor.

Julai tahun lalu, CBP mengeluarkan arahan menyekat import sarung tangan daripada dua anak syarikat Top Glove kerana disyaki menggunakan buruh paksa.

“Larangan kali ini meliputi semua sarung tangan pakai buang dari semua kilang Top Glove di Malaysia,” kata CBP.

Pada awal dagangan hari ini, saham Top Glove turun lima peratus.

Bagaimanapun CBP berkata, tindakan tidak mempengaruhi sebahagian besar sarung tangan pakai buang yang diimport ke AS dan sangat diperlukan ketika pandemik Covid-19.

“CBP telah mengambil langkah memastikan bahawa tindakan penguatkuasaan ke atas Top Glove tidak akan menjejaskan atau memberi kesan kepada pengimportan sarung tangan pakai buang,” kata CBP.

Sementara itu, Top Glove berkata, wakil mereka di AS sedang berbincang dengan CBP untuk memperoleh lebih banyak penjelasan dan maklumat berkaitan arahan terbaharu itu.

POPULAR