
Indeks utama di peringkat serantau juga ditutup lebih rendah berikutan petunjuk negatif secara meluas daripada Wall Street semalaman.
Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini (22 September 2022), menyertai penjualan ekuiti global selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah untuk mengekang inflasi yang berleluasa.
Pada jam 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.02 mata, atau 0.55 peratus, kepada 1,439.16 daripada 1,447.18 penutup Rabu.
Indeks penanda aras dibuka 2.31 mata lebih rendah pada 1,444.87, kemudian bergerak antara 1,435.76 dan 1,448.51 sepanjang sesi dagangan.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 447 berbanding 372, manakala 424 kaunter tidak berubah, 1,147 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan susut kepada 2.17 bilion unit bernilai RM1.68 bilion berbanding 2.34 bilion unit bernilai RM1.66 bilion pada Rabu.
Bursa tempatan melanjutkan kerugian semalam untuk dibuka rendah hari ini dan kebanyakannya kekal dalam jajaran negatif sepanjang sesi dagangan dengan sentimen kekal berhati-hati selepas Fed menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas (bps).
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, indeks utama di peringkat serantau juga ditutup lebih rendah berikutan petunjuk negatif secara meluas daripada Wall Street semalaman.
“Sentimen mendapat kesan tambahan daripada peningkatan perang Russia dengan Ukraine.
“Di tanah air, kami percaya sentimen pasaran jangka pendek akan kekal berhati-hati dengan turun naik yang lebih besar disebabkan ketidaktentuan dalam ekuiti global.
“Kami menganggarkan FBM KLCI akan mengalami beberapa halangan kerana sokongan pada 1,450 telah dipecahkan, dan tahap sokongan seterusnya akan berada pada 1,430 diikuti 1,400 manakala rintangan pada 1,480,” katanya menurut Bernama.
Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun susut 0.58 peratus kepada 27,153.83; Indeks Hang Seng Hong Kong turun 1.61 peratus kepada 18,147.95′ dan Kospi Korea Selatan susut 0.63 peratus kepada 2,332.31.
Indeks SSE Shanghai susut 0.27 peratus kepada 3,108.91, manakala Indeks Straits Times Singapura 0.04 peratus lebih baik pada 3,263.24.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank susut dua sen kepada RM8.71; Public Bank susut satu sen kepada RM4.39; dan Petronas Chemicals turun 11 sen kepada RM8.50. CIMB susut tujuh sen kepada RM5.38 dan IHH Healthcare turun 10 sen kepada RM6.
Bagi saham aktif, Top Glove susut 1.5 sen kepada 63 sen; Vinvest turun empat sen kepada 19 sen; RGB International meningkat satu sen kepada 14 sen; dan Ecoscience meningkat 1.5 sen kepada 31.5 sen manakala Sapura Energy tidak berubah pada empat sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 36.54 mata kepada 10,293.55; Indeks FBMT 100 susut 38.38 mata kepada 10,032.25; dan Indeks FBM Emas Shariah susut 31..67 mata kepada 10,358.22.
FBM ACE memperoleh 40.53 mata kepada 4,818.65 dan FBM 70 menokok 21.75 mata kepada 12,554.30.