Bursa ditutup rendah lagi, susut bawah paras 1,400

September 29, 2022 · Isu semasa

Bursa Malaysia mengalami penurunan selepas mencatatkan kenaikan awal untuk ditutup rendah pada Khamis, dengan indeks penanda aras susut di bawah paras psikologi 1,400 ekoran kekurangan sokongan belian, kata penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.39 mata atau 0.31 peratus untuk ditutup kepada 1,397.5 daripada 1,401.89 ketika ditutup pada Rabu, menurut laporan Bernama.

Indeks utama itu dibuka 5.5 mata lebih tinggi kepada 1,407.39 sebelum bergerak di antara 1,395.81 dengan 1,410.76 sepanjang dagangan hari ini.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 499 berbanding 343, manakala 412 kaunter tidak berubah, 1,147 kaunter tidak diniagakan dan 57 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.28 bilion unit bernilai RM1.86 bilion daripada 2.14 bilion unit bernilai RM2.06 bilion pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pihaknya menjangkakan sentimen pelabur kekal gelisah buat masa ini berikutan jualan berterusan oleh dana asing selain faktor luaran seperti peningkatan risiko pasaran dan turun naik ketara yang dialami pasaran global dalam keadaan inflasi tinggi selama beberapa tahun di Amerika Syarikat.

“Sebaliknya, FBM KLCI kekal pada kedudukan terlebih jual selepas penjualan besar-besaran baru-baru ini. Kami menjangkakan indeks penanda aras mengalami tidak banyak perubahan dalam julat 1,390 hingga 1,405 menjelang hujung minggu,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, indeks-indeks serantau utama ditutup bercampur-campur walaupun Wall Street mencatatkan kenaikan dalam tempoh semalaman.

“Kenaikan itu dihadkan oleh kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kenaikan kadar faedah yang agresif tahun ini oleh Rizab Persekutuan AS dan bank-bank pusat di Eropah serta Asia untuk menurunkan inflasi yang berada pada paras tertinggi dalam tempoh beberapa dekad, yang mungkin menyebabkan ekonomi global mengalami kemelesetan,” katanya.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.14 peratus kepada 3,120.79; Indeks Nikkei 225 Jepun naik 0.95 peratus kepada 26,422.05; Indeks Hang Seng Hong Kong merosot 0.49 peratus kepada 17,165.87 peratus dan Indeks Komposit Jakarta Indonesia turun 0.58 peratus kepada 7,036.20.

Antara saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Petronas Chemicals menambah dua sen kepada RM8.39; CIMB meningkat empat sen kepada RM5.15, Maybank dan Press Metal masing-masing tidak berubah pada RM8.56 dan RM4, manakala Public Bank kurang enam sen kepada RM4.20, IHH Healthcare susut satu sen kepada RM5.92 dan TNB merosot 15 sen kepada RM8.25.

Bagi saham aktif, PT Resources dan MY E.G. masing-masing naik dua sen kepada 43.5 sen dan 85.5 sen, NWP tidak berubah pada 24.5 sen, Top Glove dan Velesto masing-masing turun setengah sen kepada 58.5 sen dan 11 sen, manakala Cnergenz menguncup empat sen kepada RM1.04.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 28.01 mata kepada 9,981.44; FBM 70 kurang 11.07 mata kepada 12,155.58 manakala Indeks FBMT 100 turun 25.40 mata kepada 9,735.11.

Indeks FBM Emas Syariah kurang 31.92 mata kepada 10,041.85 dan FBM ACE naik 4.15 mata kepada 4,660.05.

Dari segi sektor, Indeks Tenaga menambah 1.18 mata kepada 671.5; Indeks Perladangan meningkat 45.42 mata kepada 6,504.5; Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 41.28 mata kepada 15,882.34 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.18 mata kepada 169.97.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.46 bilion saham bernilai RM1.57 bilion daripada 1.31 bilion saham bernilai RM1.77 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran sebanyak 228.98 juta unit bernilai RM41.72 juta berbanding 295.14 juta unit bernilai RM45.78 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 583.68 juta saham bernilai RM251.01 juta daripada 541.51 juta saham bernilai RM243.68 juta pada Rabu.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 222.70 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (412.36 juta), pembinaan (37.38 juta), teknologi (132.18 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (78.13 juta), hartanah (89.33 juta), perladangan (18.75 juta), REIT (6.04 juta), dana tertutup (20,000), tenaga (203.97 juta), penjagaan kesihatan (184.92 juta), telekomunikasi dan media (24.09 juta), pengangkutan dan logistik (30.91 juta) serta utiliti (20.44 juta).

Malaysia Memilih
Semak keputusan PRU15
Berita berkaitan
Bursa Malaysia ditutup Isnin depan sempena Deepavali
October 19, 2022· Uncategorized
Modal pasaran syarikat di Bursa Malaysia jatuh 6.1 peratus
October 18, 2022· Isu semasa
Bursa Malaysia dibuka rendah didorang kegiatan mengambil untung
September 21, 2022· Isu semasa
Bursa dibuka rendah, pelabur masih dalam kebimbangan
September 19, 2022· Isu semasa
Popular
Bukan RM600 bilion, SPRM sahkan terima butiran daripada MoF untuk siasatan
December 9, 2022
Bos Mydin jawab idea import telur dicadang Mat Sabu tak masuk akal
December 8, 2022
Satu lagi nama kementerian ditukar kerajaan baharu
December 9, 2022
1MDB: Saksi beritahu Jho Low sering jemput ke pangsapuri peribadi
December 8, 2022
Lagi Isu semasa terkini
750 mangsa banjir empat negeri ditempatkan di 13 PPS
2 jam lalu · Isu semasa
1,597 kes baharu, enam kematian
5 jam lalu · Isu semasa
Satu lagi nama kementerian ditukar kerajaan baharu
15 jam lalu · Isu semasa
Persatuan bimbang harga simen naik, apa kerajaan PH-UMNO buat?
20 jam lalu · Isu semasa
Mahkamah arah Bung Moktar dan isteri bela diri, permohonan semakan ditolak
22 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Annuar Musa, 2 pemimpin wanita sah dipecat dari UMNO
20 jam lalu
[VIDEO] Isu kemiskinan pesawah, aktiviti kartel padi perlu perhatian kerajaan pusat
21 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok