
Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad hari ini (2 September 2022) memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah, setelah Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintah mereka membela diri terhadap pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Pasangan berkenaan membuat pilihan itu setelah Hakim Rozina Ayob memberi tiga pilihan setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan secara prima facie (wujud bukti dalam setiap inti pati dalam pertuduhan) pada akhir kes pendakwaan.
Mahkamah menggunakan Seksyen 173(a) Kanun Tatacara Jenayah, iaitu sebelum tertuduh dipanggil memberi keterangan membela diri, hakim akan memberikan tiga pilihan kepada tertuduh berhubung keterangan yang bakal diambil.
Pilihan pertama adalah memberikan keterangan bersumpah dalam kandang tertuduh di mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas keterangan itu.
Keduanya ialah memberikan keterangan dalam kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah dan pendakwaan tidak boleh menyoal balas keterangan tertuduh.
Manakala, pilihan ketiga ialah berdiam diri. Tiga pilihan ini harus diterangkan sifat dan akibatnya oleh hakim dan pilihan tertuduh hendaklah direkodkan.
Bung Moktar, 64, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Ahli Parlimen Kinabatangan, serta Zizie Izette kemudiannya memilih memberi keterangan secara bersumpah.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.
Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.
Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie Izette yang juga pelakon mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM.
Dia boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.