
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berdepan 40 pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Shah Alam melibatkan jutaan ringgit.
Bukti jelas menunjukkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara sedar telah melebihi fungsi rasminya sebagai Menteri Dalam Negeri sebagai balasan kepada bayaran tunai daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), kata pendakwa raya kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam perbicaraan rasuah Presiden UMNO itu, hari ini (6 September 2022).
Dalam hujahan lisan menutup kes pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Datuk Raja Rozela Raja Toran menekankan dokumen dan keterangan lisan yang membuktikan pengetahuan Zahid mengenai hubungan kerja UKSB dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung penganugerahan kontrak sistem visa asing (VLN) kerajaan.
Raja Rozela seterusnya berkata ini adalah fakta penting yang tidak dipertikaikan oleh pihak pembelaan yang melibatkan kertas rasmi dan surat-menyurat berkaitan kontrak UKSB dengan KDN yang mengandungi nota dan minit tulisan tangan tertuduh.
“Notanya tidak pernah dicabar. Dia (Zahid) meminitkannya. Jadi, dia mesti telah membaca kandungan minit ceraian (minit fail) dan mesti tahu ia melibatkan UKSB kerana ia merujuk kepada kontrak VLN.
“Adalah juga berguna untuk diambil perhatian bahawa pihak pembelaan tidak mempertikaikan kebolehterimaan surat-surat ini yang mengandungi arahan bertulis tangan tertuduh kepada pegawai kanan KDN yang menyatakan tindakan perlu diambil,” kata Raja Rozela.
Berdasarkan bukti dokumen yang disebutkan di atas, Raja Rozela berkata adalah penting bahawa Zahid secara langsung terlibat dalam proses membuat keputusan berhubung kontrak UKSB.
“Pihak pendakwaan berhujah bahawa berdasarkan dokumen dan surat rasmi seperti yang diterangkan di atas, pengetahuan tertuduh dapat diperoleh dengan jelas daripada penglibatannya secara langsung dengan UKSB dalam hampir setiap aspek proses yang akhirnya membawa kepada pemberian kontrak.
“Surat yang mengandungi minit dan tandatangannya adalah bukti konkrit mengenai pengetahuan itu,” katanya di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Yazid Mustafa.
Bagi keterangan lisan, Raja Rozela berkata Zahid telah bertemu dengan tokoh utama UKSB untuk perbincangan mengenai sistem permohonan visa di kediaman peribadinya dalam apa yang boleh dilihat sebagai layanan keutamaan terhadap kontraktor.
“Sokongan tidak berbelah-bahagi tertuduh terhadap UKSB jelas tercermin dalam pelbagai lawatan UKSB ke rumahnya,” katanya.
Beliau kemudiannya memetik keterangan bekas pengarah UKSB Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani yang memberi keterangan tanpa teragak-agak bahawa Zahid sentiasa menyokong UKSB apabila syarikat itu memerlukan bantuan memandangkan hubungan perniagaan yang dikongsi antara kedua-dua pihak.
Mengikut fakta kes, UKSB memeterai beberapa perjanjian dengan kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri bagi perkhidmatan kemudahan sistem Visa Luar Negara (VLN) dengan mengendalikan beberapa Pusat Setempat (OSC) di China mulai 2012.
Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya.
Presiden UMNO itu didakwa melakukan semua perbuatan berkenaan di Seri Satria di Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.