Bukti MoU gagal, kata Tok Mat Hasan

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berpendapat perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) telah gagal.

Pada masa sama beliau juga menegaskan PH adalah gabungan yang tidak boleh dipercayai dan sudah menjadi kebiasaan mereka untuk memungkiri janji yang dibuat.

Untuk rekod, MoU itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO bersama pimpinan kanan PH – Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut menandatangani perjanjian pada 13 September 2021 itu ialah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu; dan Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Mengulas penolakan pembangkang untuk melanjutkan penguatkuasaa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747) atau SOSMA di Dewa Rakyat semalam, Mohamad berkata kejadian itu menunjukkan dengan jelas bahawa kerjasama dan persefahaman kerajaan dan pembangkang sukar untuk diuruskan dengan berkesan.

“Adalah tidak keterlaluan untuk mengambil pendirian bahawa persefahaman tersebut sebenarnya telah gagal berfungsi seperti yang diharapkan. Kerajaan yang terbentuk, bertahan dan berfungsi menggunakan mekanisme Memorandum Persefahaman sebegini adalah sangat berisiko.

“Apa lagi bila Pakatan Harapan sebenarnya adalah pihak yang tidak boleh di percayai dan memang dah jadi kebiasan mereka untuk memungkiri janji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad lebih dikenali sebagai Tok Mat Hasan berkata sesi sidang Dewan Rakyat yang menolak akta itu disambung petang semalam membuktikan pembangkang tidak teragak-agak untuk melanggar pendirian dan janji mereka.

“Saya percaya, semua ini memberi tamparan hebat kepada Kerajaan dan suatu peristiwa yang sangat memalukan. Ia secara langsung mewajarkan Kerajaan untuk menilai semula kedudukan kerjasamannya dengan PH.

“Mungkin telah tiba masanya Kerajaan bergerak ke hadapan dan tidak perlu lagi menunggu MoU tersebut matang pada Julai ini,” katanya.

Usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) SOSMA bagi tempoh lima tahun lagi yang dibentang Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, tidak diluluskan Dewan Rakyat semalam setelah melalui undi belah bahagian, yang menyaksikan 84 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.

BERITA BERKAIT
POPULAR