Bukti baharu keluarga Zeti tak relevan, transaksi berlaku sebelum SRC wujud

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram berhujah di Mahkamah Persekutuan hari ini langkah Datuk Seri Najib Razak mengemukakan bukti baharu berhubung transaksi perbankan keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz tidak relevan.

Sithambaram berkata bukti transaksi baharu melibatkan keluarga Zeti berlaku pada 2008, tetapi SRC International Sdn Bhd yang dananya diseleweng Najib pula ditubuhkan pada 2014.

Jelasnya, ia bertentangan dengan hujah pendakwaan yang bekas Perdana Menteri (PM) itu menerima RM42 juta dana SRC, yang dimasukkan ke akaun banknya, antara akhir 2014 dan awal 2015.

Perbicaraan hari ini di hadapan sidang lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berhubung rayuan Najib mengemukakan bukti baru bagi mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Sithambaram juga berkata yang kes pendakwaan tidak bergantung kepada maklumat perbankan sebelum SRC ditubuhkan.

1Malaysia Development Berhad (1MDB) menubuhkan SRC sebagai subsidiarinya pada 2011. Setahun kemudian, SRC menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

“Wang (berhubung maklumat perbankan dalam permohonan Najib) masuk ke akaun Tawfiq antara 2008 dan 2019. Namun wang (SRC) masuk ke akaun (Najib) pada 2014.

“SRC belum pun wujud ketika wang masuk ke akaun Tawfiq, dan mereka (peguam Najib) mahu bergantung kepada perkara ini,” katanya dipetik laporan Malaysiakini hari ini.

Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhir kes SRC dengan mendakwa Zeti dan keluarganya bekerjasama dalam rancangan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low terhadap dirinya.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi mensabitkan dan mengenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC.

Pada 8 Disember tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Ahli Parlimen Pekan itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Sehari sebelum itu, panel sama turut menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu berkaitan Zeti dan keluarganya.

BERITA BERKAIT
POPULAR